Kembang Wali (Syabab Zuhuur Awliyak)

 


ABOUT ME


Razali Bin Hassan
Singapore
Master of Pencak Silat Kembang Wali.
View my complete profile


LINKS

pencak silat
persisi
persilat
kidi
nur alhayat
hikam
al-risalah
istilah-istilah tasauf
suluk
martabat tujuh
sufi islam
yaya

 


July 24, 2006
3) Fana (Tidak Sedarkan Diri)


Fana (Tidak Sedarkan Diri)

Fana terbagi kepada tiga peringkat:

Pertama:Fana Ilmu iaitu seperti anda melihat segala makhluk itu kesemuanya hilang.

Kedua:Fana Ain iaitu seperti anda melihat dengan mata hati, sesungguhnya diri makhluk itu kesemuanya hilang.

Ketiga:Fana Hak iaitu seperti anda memandang, seperti segala makhluk itu sebenarnya kesemua hilang tanpa ada padanya wujud hakikat.

Oleh sebab itulah fana itu terbahagi kepada tiga bahagian:

Pertama:Fana segala perbuatan, seperti mereka berkata Tidak ada yang berbuat hanya Allah Taala sahaja.

Kedua:Fana segala sifat, seperti mereka berkata Tidak ada yang hidup hanya Allah Taala saja.

Ketiga:Fana segala zat, seperti mereka berkata Yang maujud hanya Allah Taala sahaja”

Ketiga-tiga fana inilah yang dikehendaki.

Berkata sesetengah orang Arif Barangsiapa memandang segala makhluk itu tidak ada perbuatan pada mereka itu, maka sesungguhnya ia beroleh kemenangan dan barangsiapa melihat mereka itu tidak hidup, maka sesungguhnya mereka beroleh perhimpunan (Libas).Barangsiapa pula melihat mereka itu tidak ada (adam) iaitu mereka tidak wujud sekali-kali,sesungguhnya ia telah sampai.
Begitulah hasil yang disebut oleh Syeikhul Islam dalam kitabnya.Syarah Hukum Ibnu Ruslan.


posted at 7/24/2006 08:16:00 PM by Razali Bin Hassan:: 0 witty replies :: permalink


2) Makrifat Allah Tala


Makrifat Allah Taala

Makrifat itu ialah mengenalkan diri-Nya (Allah Taala) kepada hamba-Nya dalam ertikata sebagai suatu penganugerahan Allah Taala kepada mereka melalui ilmu laduni. Barangsiapa mengenal Allah Taala, nescaya ia mengenal dirinya dan barangsiapa kenal akan dirinya, nescaya ia kenal akan Tuhannya dan barangsiapa kenal Tuhannya, nescaya ia berasa jahil akan dirinya.Maka tiap-tiap makrifat itu tertakluk kepada mengenal diri, dan mengenal diri itu tertakluk kepada mengenal Tuhan, dan mengenal Tuhan itu tertakluk kepada kejahilan dirinya.Sepertimana sabda Nabi s.a.w.

Ertinya:Terlebih mengenal kamu akan Tuhannya, terlebih kamu mengenal akan diri-Nya.

Makrifat Allah Taala itu adalah jalan untuk menyampaikan kepada Kasyaf.Kasyaf ertinya terbuka daripadanya itu segala hakikat sesuatu yang menyampaikan kepada fana daripada Allah Taala dan fana itu adalah jalan untuk menyampaikan kepada fana ul fana iaitu ia tidak melihat dirinya itu yang memfana kan dirinya, hanya yang dilihatnya Allah Taala saja yang memfana kan dirinya.Fana ul fana itu adalah jalan yang menyampaikan kepada Baqa sebagai maksud yang dituntut.Maqam inilah yang di tafsirkan, melalui pandangan anda sesungguhnya Allah Taala itu meliputi tiap-tiap sesuatu.Ketika itu anda akan merasakan terlebih manis daripada madu dan lebih lazat daripada susu.


posted at 7/24/2006 08:11:00 PM by Razali Bin Hassan:: 1 witty replies :: permalink


1) Ilmu Laduni (Ilham)


Ilmu Laduni (Ilham)

Amalan ini adalah jalan untuk mengetahuai kaifiatnya dan amalan itu sebagai jalan yang menyampaikannya kepada Ilmu Laduni.Seperti firman Allah Taala:

Ertinya:”Dan bertaqwalah kepada Allah,Allah mengajar kamu.(Surah Al-Baqarah:282)

Tafsirannya:
Takutlah kepada Allah Taala iaitu amalkan dan kerjakanlah segala suruhan, dan jauhkan dan tinggalkanlah segala larangannya, nescaya Allah Taala menganugerahi
hati hamba-Nya yang takutkan-Nya tanpa mengaji dan belajar pada makhluk.Dan lagi sabda Nabi s.a.w.

Ertinya:Barangsiapa mengamalkan ilmu yang diketahuinya nescaya Allah Taala
mempusakakannya dengan ilmu yang tidak diketahuinya.

Iaitu Allah Taala menganugerahkan ilmu laduni tanpa susuah payah belajar untuk mendapatkannya dan ilmu laduni ini adalah jalan untuk menyampaikan seseorang hamba-Nya kepada makrifat Allah Taala.Hal ini demikian kerana sesungguhnya Makrifat itu tidak akan terhasil melainkan dengan ilmu laduni.


posted at 7/24/2006 07:58:00 PM by Razali Bin Hassan:: 0 witty replies :: permalink

July 22, 2006
Mengenal Diri


Apabila Ruh diturunkan kebumi, ia berhajat kepada Sifat Iftiqar Allah untuk berfungsi di atas muka bumi ini..Jika tiada Sifat Iftiqar,Ruh tidak berfungsi.Ini disebabkan ia memiliki sifat yang suci dan tinggi.Ia tiada pengetahuan dan kehendak terhadap alam yang rendah (dunia).Oleh itu, ia perlukan Sifat Iftiqar untuk melaksanakan tugas khalifah, untuk kehidupannya dan dunia.
Empat Sifat Iftiqar:Sifat Qudrat,Hayat,Iradat,Ilmu.

-ALLAH
-RUH YANG SUCI -QUDRAT (Kuasa):iaitu dinyatakan pada (RUH JASMANI) dan diletakkan dalam jasad.Ruh memerlukan jasad untuk bergerak di atas muka bumi.(NASMA: kuasa batin yang hebat). TANAH:tubuh badan-istana hakikat.

-ILMU(ilmu):ianya dinyatakan pada (RUH SULTANI) dan menjadi akal apabila digabungkan dgn unsur air dan diletakkan pd otak.Ruh tidak akan dapat berfikir untuk kehidupan didunia tanpa ilmu bangsa dunia.(AIR:akal- ilham,laduni pandangan tajam hikmah).AIR:otak-istana syariat.

-HAYAT(hidup):ianya dinyatakan pada (RUH AL HAYAT) dan menjadi nafas apabila bergabung dgn udara.Ruh memerlukan nafas untuk berhubung dgn nafas.(NAFAS:menstabilkan emosi,akal,kesihatan dan perjalanan Ruh).ANGIN,udara:sistem pernafasan-istana tarikat.

-IRADAT(berkehendak):ianya dinyatakan pada(RUH SAIRANI RAWANI) dan menjadi nafas apabila digabungkan dgn unsur api dan diletakkan dijantung/qalbi.Ruh memerlukan nafsu yg bangsa dunia untuk memakmurkan dunia.(NAFSU:ketenangan,kasyaf,asyik,cinta,rindu,syuhud,makrifat)API:jantung-istana makrifat.

Syaik Abdul Qadir Jailani:Di dalam Kitab Sirrul Asrar:Ruh adalah hakikat diri manusia yang sebenar.Ruh adalah Nur cahaya yang tinggi yang dibaluti dengan beberapa lapisan pakaian sebelum diturunkan ke alam dunia ini agar jasad tidak terbakar.


posted at 7/22/2006 09:42:00 PM by Razali Bin Hassan:: 0 witty replies :: permalink

July 21, 2006
Meneroka Rahsia Diri


Bismillahirrahmanirrahim

Meneroka Rahsia Diri melalui ILMU,TEKNIK PERNAFASAN & TAFAKUR."
"Membina kekuatan jiwa,mental dan penyembuhan penyakit zahir dan batin"
Firman Allah s.w.t
"Maka ingatlah kepada-Ku, nescaya Aku ingat kepadamu (bersama dan melindungi hambaNya)..."(al-Baqarah:152)
Tenaga zikir adalah tenaga dari Illahi, ia mempunyai cahaya yang hebat yang datang dari alam Lahut.Energi zikir akan menyucikan segala kekotoran pada qalbi sehingga qalbinya akan terkeluar cahaya alam Lahut yang tertutup selama ini disebabkan kekotorannya.Cahaya ini akan bersinar dan meningkatkan frekuensi cahaya pada qalbi dan seterusnya mengeluarkan segala tenaga yang rendah pada jiwanya (mazmumah).Ia juga akan bergerak menguatkan Ruh Sultani iaitu cahaya akal sehingga akalnya mempunyai daya ketahanan yang kuat, berfikir tajam dan kreatif.
Zikir yang digabungkan dengan teknik pernafasan yang betul, atau disebut oleh ahli Tasawuf sebagai zikir nafas, akan memberikan kesan yang lebih hebat.Imam Ghazali mengatakan zikir yang dilakukan dengan cara menahan nafas akan mempercepatkan proses penyucian hati (membakar mazhumah).
Pernafasan yang betul akan memaksimumkan penyerapan oksigen yang amat penting dalam kehidupan dan kesihatan manusia.Kekurangan oksigen menyebabkan seseorang terdedah kepada pelbagai penyakit.
Zikir Nafas juga dapat merawat gangguan halus sama ada dari sihir atau pun, jin ialah dengan mengeluarkan penyakit dari diri serta memastikan pesakit mempunyai sistem pertahanan yang kuat agar segala iblis atau sihir tidak dapat menembusinya semula setelah ia sembuh.
Rawatan energi zikir juga akan menumpukan pengumpulan tenaga zikir pada qalbi (jantung) untuk mengeluarkan syaitan dari dalam darah.Apabila tenaga zikir terkumpul di jantung, maka ia akan menghantar tenaga itu keseluruh badan melalui sistem peredaran darah, seterusnya menghancurkan segala tenaga yang rendah (jin dan syaitan) tidak kira di mana ia berada dalam tubuh pesakit.
(Zikir Nafas)
Setiap kita yang hidup mesti mempunyai nafas, melihat, mendengar, merasa dan ini semua termasuk di dalam sifat al hayat. Kita boleh hidup tanpa mata, telinga, tangan dan anggota tubuh yang lain tetapi kita tidak boleh hidup tampa nafas. Kita boleh berjalan, berkata-kata dan melakukan apa saja, ini semua berlaku kerana qudrat dan iradat Allah. Dan nafas berada didalam qudrat dan iradat Allah.

Di mana permulaan dan letaknya nafas ini?
Untuk mengetahuinya kita harus kembali pada asal kejadian kita iaitu di antara pertalian ibu dan anaknya. Mula terjadi benih diperut ibu ialah di bahgian PUSAT. Di situlah mulahnya nafas dan dari situ mulalah benih itu membesar menjadi anggota tubuh yang sempurna.

Dimanakah letaknya rahsia diri kita yang sebenarnya?
Letaknya rahsia diri kita ialah di atas PUSAT( jaraknya dua jari diatas pusat). Kerana di situlah mulanya kejadian kita. Dan situlah letaknya pengenalan kita pada Allah. Untuk mencapai kemakam tersebut ada 3 tahap atau latihan yang perlu kita lakukan.

-Menfanakan diri (mematikan diri)
-Mengqasadkan diri dalam afal Allah (perbuatan Allah)
-Mengqasadkan diri dalam ilmu Allah (pengetahuan Allah)
Pengetahuan Allah amat luas dan tidak terbatas.
Kalau Dia tidak berpengetahuan, munkinkah terjadi segala sesuatu ini? Tentu tidak akan terjadi.
Mustahil kalau Allah itu bodoh.Adapun pengetahuan manusia makhluk tetap terbatas. Sedang Allah Yang Maha Ada, justeru Dialah yang mencipta akal dan pengetahuan.

Dan kunci/pokoknya amalan ini ialah: Lahaulawala quwwata illabillahi aliyyil azhim

Tahap 1
Mematikan diri dengan cara mengumpulkan segala nafas kita di bahgian qalbi (maqamnya alam malakut) lalu ditarik ke atas di bahgian umbun-umbun kepala (maqamnya alam jabarut) sambil tarik nafas dan bila sudah sampai kebahgian umbun-umbun kepala lalu tahan nafas untuk seketika. Selepas itu turunkan/lepaskan nafas hingga kebahgian 2 jari di atas PUSAT (maqamnya alam lahut) lalu tahan nafas untuk seketika. Kosongkan fikiran dan tumpukan pada point iaitu 2 jari di atas PUSAT. Rasakan pada waktu itu kewujudan kita telah tiada yang ada hanya Allah. Selepas itu ambil nafas seperti biasa seketika dan lakukan lagi latihan 1.

Tahap 2
Mengqasadkan diri kita pada pergerakan Allah iatu segala gerakan yang berlaku pada diri kita bukan lagi gerakan kita tetapi adalah gerakan Allah. Kembali pada pokoknya Lahalauwala quwata illabillahi aliyil azhim. Bahawasanya apa saja gerakan yang berlaku pada diri kita bukan lagi gerakan kita tapi adalah qudrat dan iradat Allah.


Misalnya: Kita lakukan latihan 1 dan bila sampai saja di point (PUSAT) kita bermohan pada Allah agar memberi kita pergerakan . Dan selepas itu serahkan segala-galanya pada gerakan Allah jangan difikirkan apakah gerakan yang hendak kita lakukan. Pergerakan ini boleh digunakan dalam membantu mereka yang dalam kesusahan seperti scan tubuh pesakit.Kosongkan fikiran kita dan biarkan tubuh kita beregrak dengan sendirinya. Waktu itu bukan kita lagi yang mengawal tubuh kita tetapi adalah dari gerakan qudrat iradat Allah.Setiap apapun yang disaksikan oleh mata hendaklah ditanggapi oleh hati bahwa itu adalah af'al Allah (perbuatan) dari pada Allah s.w.t.

Tahap 3
Mengqasadkan diri kita di dalam ilmu Allah iatu segala apa yang akan berlaku semuanya adalah di dalam ilmu dan ketentuan Allah. (LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL-ALIYYIL AZHIM) Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan(daya dan kekuatan) Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.

Hadis Rasulullah s.a.w

LA TATAHARRAKU DZARRATUN ILLA BI IDZNILLAHI.

Tidak bergerak satu zarrah juapun melainkan atas izin Allah.

Untuk mencapai tahap yang sempurna harus perbanyakanlah kita beribadah kepada Allah kerana semakin kita dekat dan mesra dengan Allah semakin tinggi dan menyerlah apa yang kita tuntut ini.
Di dalam mengamalkan amalan ini janganlah ada sifat sombong, riak, takbur, hasad dengki di dalam diri kita kerana sekiranya ada salah satu dari sifat-sifat ini di dalam diri kita maka amalan ini tidak akan menjadi kerana ilmu ini juga berada di dalam qudrat iradat Allah. Serahkan segala-galanya pada urusan Allah kerana kita adalah manusia yang lemah yang tiada daya dan kekuatan.

Perhatian:Laku cara amalan ini harus diterangkan dengan sempurna sebelum dipraktikkan.Segala penerangan diatas khusus bagi yang pernah ikut serta latihan Motivasi & Meditasi K.Wali.Jadilah manusia yang mulia dimuka bumi ini dan mempunyai sifat kasih sayang terhadap segala makhluk..



posted at 7/21/2006 07:10:00 PM by Razali Bin Hassan:: 2 witty replies :: permalink


Tauhidus Sifat Bab Ketiga:


Bab yang ketiga ini menerangkan tauhidus sifat yang bermaksud mengesakan Allah Taala pada sifat yang berdiri pada zat-Nya: iaitu memfanakan segala sifat makhluk sama ada sifat dirinya atau yang lain, di dalam sifat-sifat Allah. Kaifiatnya ialah anda memandang dan musyahadah dengan mata hati dan beriktikad bahwa segala sifat yang berdiri pada zat-Nya seperti semuanya itu sifat-sifat Allah Taala. Hal ini demikian kerana tidak ada zat yang bersifat dengan sifat-sifat tersebut pada hakikatnya melainkan Zat Allah Taala jua. Di adakan sifat-sifat ini pada makhluk, atas sekadar pinjaman (majaz) dan bukan pada hakikatnya.Cuma sifat-sifat tersebut adalah sifat-sifat Allah Taala jua.

Apabila sudah tahkik pandanganmu dengan keadaan demikian, nescaya segala sifat makhluk fana dalam sifat-sifat Allah Taala, hamba itu tidak mendengar melainkan dengan pendengaran Allah Taala, hamba itu tidak melihat melainkan dengan penglihatan Allah Taala, hamba itu tidak tahu melainkan dengan pengetahuan Allah Taala, hamba itu tidak hidup melainkan dengan hayat Allah Taala, hamba itu tidak berkata-kata melainkan dengan perkataan Allah Taala, dan begitulah seterusnya dengan sifat-sifat-Nya yang lain. Dalil yang menunjukkan bahwa hamba tidak mempunyai sifat-sifat tersebut dan yang ada pada hamba itu muzhar sifat-sifat Allah Taala ialah sebagaiman firman Allah Taala, dalam hadis Qudsi:

Erinya:”Tidak menghampiri orang-orang yang menghampiri diri pada-Ku umpama mengerjakan apa yang Aku fardukan ke atas mereka dan sentiasalah hamba-ku berdamping diri kepada-Ku dengan mengerjakan ibadat sunat hingga Aku kasihkan dia. Maka apabila Aku kasihkan dia, nescaya adalah Aku pendengarannya yang ia mendengar dengan Dia, pertuturan lidahnya yang ia bertutur dengan Dia, penampar tangan yang ia menampar dengan Dia, berjalan kakinya yang ia berjalan dengan Dia, dan fikiran hatinya yang ia berfikir dengan Dia.”

Kaifiat mentajalli sifat Allah Taala ialah memandang hak Taala, bahwa hamba yang mendengar itu dengan Allah Taala, maka segala keadaan yang didengar oleh hamba fana bersama diri-Nya.Apabila telah tetap mentajalli sifat mendengar itu dalam hati, maka akan melihat sifat yang lain pula sehingga habis satu persatu seperti sifat Basar, Kalam, Ilmu dan Iradat. Anda juga akan melihat hamba itu tidak melihat dirinya bersifat demikian yang hanya menerima daripada sifat-sifat Allah Taala jua.Apabila semua sifat yang lain terhapus, maka tajalli pula sifat-sifat Allah Taala ke atas kita dan kita akan melihat, hamba itu yang bersifat Haiyun (hidup).Apabila sifat Hayat itu Fana daripada diri,ternyatalah bahawa tidak ada yang hidup melainkan Allah Taala.

Apabila anta telah berhasil memperolehi makam fana, ketika itu jadilah kita baqa bisifatillah (kekal dengan sifat-sifat Allah). Ketika itu juga, kita memperoleh kemenangan kerana dapat mengenal-Nya dengan pengenalan yang layak dan sempurna.Oleh itu jadilah kita ketika itu fana fisifatillah (terhapus dalam sifat-sifat Allah) dan baqa bisifatillah.Ketika itu juga,Allah Taala akan memberitahu kepada kiat segala rahsia sifat-Nya yang mulia.

Kesimpulannya, makam tauhidus sifat inilah makam yang tetap dan teguh. Apabila sudah habis mentajallikan semua sifat itu di dalam hati, maka dianugerahkan oleh Allah Taala kepadanya pada masa itu kekuatan yang dapat menanggung tajalli zat jika dikehendakinya.Makam inilah yang akan menyampaikan orang yang Arif itu kepada makam yang di atasnya iaitu makam tauhiduz zat, makam yang keempat daripada semua makam orang-orang Arif.

bersambung Bab Tauhiduz Zat:


posted at 7/21/2006 06:34:00 PM by Razali Bin Hassan:: 0 witty replies :: permalink

July 13, 2006
Wahai Diri


Wahai diri
Ingatlah setiap masa pada Allah
Hingga terasa manis kalimah itu
Apabila berdenyut di hati sanubarimu
Wahai diri
Janganlah engkau lupaSetiap masa dan ketika
Dirimu akan dikembalikan
Ke hadrat Tuhanmu
Sama ada engkau redha
Atau engkau tidak bersedia
Perbetulkan akal dan hatimu
Kehidupan adalah persediaan
Untuk menuju kematian
Janganlah tertipu dengan dunia
Ya tuhan ku
Akulah pengambara
Menuju Cinta-Mu
Tanpa ragu dan jemu
Akan ku ketuk pintu Rahsia-Mu
Agar tenggelam diriku di lautan
Wajah Mu Yang Maha Indah
Ya Tuhan ku
Akulah pengemis setiap masa
Berdiri dengan penuh harapan
Di pintu rahmat-Mu
Perjalanan yang panjang ini
Adalah satu ujian padaku
Sama ada langkahku pincang
Atau langkah terisi dengan
cinta Ilahi
Alangkah sukarnya dan berliku
Perjalanan mencari hakikat diri
Nafsu dan syaitan
Akan berhemah berjuang
Merosakkan dan melalaikan
Daripada sampai ke penghujung
Engkau adalah rahsiaku
Aku adalah rahsia-Mu
Engkau berada disebalikku
Hilang wujudku nyatalah wujud-Mu
Begitulah hakikat perjalananku
Dinukil dari kitab Bicara Hikmah (1)
Oleh Murshid Haji Ibrahim Bin Haji Mohamad


posted at 7/13/2006 05:35:00 PM by Razali Bin Hassan:: 1 witty replies :: permalink

July 11, 2006
Usaha Dan Akal


Soalan:
Yang manakah dikatakan usaha pada hamba?

Jawapan:
Yang dikatakan usaha pada hamba ialah Allah Taala menzahirkan perbuatan-Nya pada hamba.Inilah dikatakan usaha.

Soalan:
Apa kata kamu tentang firman Allah Taala dalam Al-Quran:
Ertinya:"Tidak ada bagi insan melainkan sekedar usahanya."(Surah An-Najm:ayat 39)

Jawapan:
Dalam ayat tersebut,Allah Taala meletakkan (memberi tanggungjawab) usaha itu kepada manusia (hamba) kerana faedahnya kembali kepada hamba sebagai kurniaan-Nya semata-mata.

Soalan:
Yang manakah dikatakan manusia yang tidak berakal?

Jawapan:
Sabda Nabi s.a.w,mafhumnya:
"Manusia yang tidak berakal itu ialah;
Orang yang melebihkan dunia daripada akhirat
Orang yang suka membanyakkan harta dan kurang amalan
Orang yang melebihi harta daripada amlan dan menuntut ilmu

Itulah manusia yang tidak berakal dan tidak mengetahui baik dan jahat,awal dan akhir,zahir dan batin.Orang ini tidak ingat bahwa yang hidup akan mati.Apa yang dia tahu ialah teringat harta,makan,minum dan jimak.Inilah manusia yang paling bodoh,tubuhnya manusia tetapi akalnya binatang yang tidak tahu bahwa yang hidup akan mati.

Bukankah harta itu tidak boleh dibawa mati.Oleh itu janganlah anda bersahabat dengan orang yang bersifat demikian.Ini kerana sifat yang jahat itu mudah berjangkit dan mewarisi hati yang mati (menjadikan hati mati).Larilah anda daripada orang ini seperti melarikan diri daripada harimau.

Soalan:
Orang yang bagaimana yang dipuji oleh syarak?

Jawapan:
Sabda Nabi s.a.w,mafhumnya:
"Manusia yang sebenar-benarnya ada tiga macam, iaitu:
Orang yang mengajar ilmu yang sebenar-benar
Orang yang belajar ilmu yang sebenar-benar
Orang yang mendegar dengan sebenar-benar.
Selain di atas seperti lalat yang mengekori kumbang yang kurus yang tidak ada darajat di sisi Allah Taala."


posted at 7/11/2006 09:37:00 PM by Razali Bin Hassan:: 0 witty replies :: permalink


Mengenal Diri Mengenal Allah


Soalan:
Ke manakah tertakluknya Makrifat?

Jawapan:
Makrifat tertakluk kepada mengenal diri.

Soalan;
Kemanakah tertakluknya mengenal diri?

Jawapan:
Mengenal diri tertakluk kepada mengenal Allah.

Soalan:
Ke manakah pula tertakluknya mengenal Allah?

Jawapan:
Mengenal Allah tertakluk kepada memfana'kan (membinasakan) wujud dirinya.Sebagaimana yang diisyaratkan oleh Sabda Nabi s.a.w:

Ertinya:"Sesiapa yang mengenal dirinya, tentu dia mengenal Tuhannya dan sesiapa yang mengenal Tuhannya, maka binasalah dirinya."

Soalan:
Ketika itu siapakah yang mengenal dan siapakah yang dikenal?

Jawapan:
Yang mengenal itulah yang dikenal dan yang dikenal itulah yang mengenal.Sebagaimana isyarat sabda Nabi s.a.w.:
Ertinya:"Aku mengenal Tuhanku dengan Tuhanku."

Soalan:
Dengan apakah kita mengenal Tuhan itu kerana Tuhan itu tidak ada 'ain bagi-Nya (iaitu tidak boleh nampak dengan mata kasar).?

Jawapan:
Kita boleh mengenal Tuhan dengan sifat-sifat-Nya iaitu bekas sifat-sifat-Nya.Sebagaimana firman Allah Taala (Hadis Qudsi):

Ertinya:"Aku menjadikan tiap-tiap suatu supaya mengenal Aku yang ada pada tiap-tiap sesuatu."

Soalan:
Yang manakah dinamakan sifat?

Jawapan:
Yang dinamakan sifat itu ialah sesuatu yang menunjukkan sesuatu yang bertambah ke atas zat iaitu sifat namaNya.


posted at 7/11/2006 07:55:00 AM by Razali Bin Hassan:: 0 witty replies :: permalink

July 09, 2006
Tauhidul Asma (Ke-Esa'an Nama Allah s.w.t.) Bab Kedua:


Kafiat (cara-cara) memusyahadahkan tentang keEsaan nama-nama Allah s.w.t. adalah sebagai berikut:

"Pandang dengan mata kepala kita lalu syuhud (pandang) dengan matahati, bahwa segala nama apapun juga pada hakikatnya kembali kepada sumbernya ialah nama Allah s.w.t."

Alasanya ialah, bahwa nama apapun juga yang ada di dalam alam ini tentu ada yang memberi nama (ujud musamma).Dalam arti hakiki sudah jelas bahwa "tidak ada yang maujud/diadakan kecuali Allah."

Segala yang maujud (yang diadakan) pada hakikatnya hanyalah khayalan(kosong) atau waham (sangkaan) belaka, bila dinisbahkan (dibandingkan) dengan UJUD ALLAH.

Contoh yang dapat kita kemukakan, misalnya sekeping kaca yang tembus warnanya, lalu diwarnakan dengan bermacam-macam warna.Kemudian diletakkan di bawah cahaya matahari, tentu akan terlihat beraneka warna pada bumi sebagaimana warna yang tercantum pada kaca tadi.

Disitu dapat terlihat jelas bahwa cahaya matahari tidak terpisah cerai dengan zat matahari sendiri dan tidak pula berpindah cahaya matahari itu tadi.Adanya bermacam warna pada bumi menunjukkan keEsa'an matahari.

Maha suci Allah dari contoh dan misal,maka pahamilah dengan kata-kata yang baik dan sempurna, semoga anda dapat memahaminya dengan kasih sayang Allah s.w.t. dan dapat sesuai dengan maksud yang sebenarnya.

Andai kata telah berhasil pada makom (tingkatan) ini lalu kemudian TAJALLI HAK TA'ALA (nampak nyata kebenaran Allah Ta'ala) bagi kita dari celah-celah dinding mazhar (kenyataan) ini dengan dua macam nama (isim) maka semua yang berupa mashar tersebut lenyap sirna didalam keEsa'an (ahadiyat) Allah s.w.t.

Apabila TAJALLI ALLAH TA'ALA (nampak nyata) dengan asmaNya/ nama-namaNya ZHOHIRUN terhadap hambaNya,niscaya si hamba itu akan dapat melihat bahwa segala akwan (kejadian) semua ini adalah KEBENARAN ALLAH,sepanjang pengertian bahwa zohir akwan itu adalah dengan ZOHIRNYA ALLAH.Berdirinya akwan itu dengan nyatanya qoyyumiyahNya (sifat qiyamuhu ta'ala binafsi) berdiri Allah dengan sendiriNya dan KEKALNYA ALLAH s.w.t. Kerana tidak akan mungkin bagi akwan ini ada dengan sendirinya.Dan tidak akan mampu si hamba membedakan satu persatu segala akwan ini.Jelasnya hanya pada suatu pengertian bahwa makhluk ini hanya sekedar mazhar/sandaran semata-mata.Si hamba dapat memandang (musyahadah) bahwa Allah adalah hakikat segala sesuatu sebagaimana yang difirmankan oleh Allah didalam al-Qur'an:

"FA AINAMA TUWALLU FASTAMMA WAJHULLAHI"

Artinya:Kemanapun kamu mengadap, disanalah Ujud Allah.Maksudnya, kemanapun dan dimanapun akal, hati dan roh ini berhadapan disanalah adanya Allah s.w.t.

Makom tauhidul asma ini merupakan makom yan kedua daripada makom orang-orang Arifin yang dianugerahkan Allah Ta'ala kepada orang yang salik atau kepada orang lain seperti orang yang majzub.Makam inilah merupakan natijah iaitu faedah yang diperolehi dan juga merupakan lanjutan makom yang pertama, makom bagi orang yang sentiasa memandang wahdatul Af'al. Makom tauhidul asma inilah yang menyampaikan anda kepada makom yang seterusnya iaitu "Tauhidul Sifat", makom yang ketiga daripada orang-orang A'rif.

bersambung Bab Tauhidus Sifat:


posted at 7/09/2006 10:55:00 PM by Razali Bin Hassan:: 0 witty replies :: permalink

July 08, 2006
Latihan Motivasi dan Meditasi





Latihan motivasi dan meditasi Ilahiyah pada 8/7/2006 di Sembawang Park. Gambar ini diambil dipersimpangan menuju ke Masjid Kampong Sembawang diwaktu kami menjalani latihan jasmani. Perjalanan yang banyak menyedarkan kami akan kebesaran Allah s.w.t. dimana wujudnya alam ghaib dimuka bumi ini. Seperti yang termaktub didalam kitabNya "Tidak kujadikan Jin dan Manusia melainkan untuk sujud kepadaKu."

Semoga apa yang terjadi menjadi tauladan dan iktibar dan mendekatkan kami kepada Mu YaAllah. Bagi anak-anak Kembang Wali dan juga kepada adik Fadli yang mengikuti latihan ini semoga Allah membuka hati dan membersihkan Qalbi kita dan mendekatkan lagi kita kepada Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t. "Siapapun selagi masih hidup di dunia ini tetap di dalam kebutaan, maka di akhirat kelak dia akan lebih buta dan sesat jalan."

Kepada adik Fadli, pendekar dan serikandi Kembang Wali ingatlah pesanan ku duduklah didalam naungan Allah, tiada makhluk dapat mengatasi ZatNya.

Firman Allah s.w.t "Kepunyaan Allah Barat dan Timur, kemanapun hadapmu disanalah Zat Allah.(Al-Baqarah:115)

"Dia (Allah) bersama kamu, kemanapun/dimanapun kamu berada"

Jadilah manusia yang membuang akan sifat keAkuan. Jadilah manusia bersifat tunduk didalam muka bumi ini. Tiada makhluk yang kuat,berkuasa,pandai,penyembuh,agung melainkan Dia. Ingatlah pesanan ku bahwa manusia dapat mendekatkan diri dengan penciptanya melalui tafakur (meditasi) ingat kepada Allah. Matikan dirimu sebelum kamu dimatikan.....(matikan sifat sombong,riak,ujub,dengki dan sumaah.

Firman Allah s.w.t:"Apa yang ada padamu akan hancur, dan apa yang ada pada Allah kekal abadi"(An-Nahl:96)



posted at 7/08/2006 08:10:00 PM by Razali Bin Hassan:: 3 witty replies :: permalink

July 06, 2006
Tauhidul Af'al (Ke-Esa'an Perbuatan) Bab Pertama:


Hendaklah anda ketahui bahwa segala apapun juga yang terjadi didalam alam ini pada hakekatnya adalah Af'al (perbuatan)Allah s.w.t.

Yang terjadi di alam ini dapat digolongkan pada dua golongan.

1) Baik pada bentuk (rupa) dan isi (hakekatnya) seperti iman dan taat.
2) Buruk pada bentuk (rupa) namun baik pada pengertian isi (hakekat) seperti kufur dan maksiat.Dikatakan ini buruk pada bentuk kerana adanya ketentuan hukum/syarak yang mengatakan demikian.Dikatakan baik pada pengertian isi (hakikat) kerana hal itu adalah sutu ketentuan dan perbuatan dari pada Allah Yang Maha Baik.

Maka "kaifiat" cara untuk melakukan pandangan (syuhud/musyahadah) sebagaimana dimaksudkan diatas ialah:

"Setiap apapun yang disaksikan oleh mata hendaklah ditanggapi oleh hati bahwa semua itu adalah Af'al (perbuatan) dari pada Allah s.w.t."

Bila ada sementara anggapan tentang ikut sertakan "yang lain dari pada Allah" di dalam proses kejadian sesuatu, maka hal tersebut tidak lain hanya dalam pengertian majazi (bayangan) bukan menurut pengertian hakiki.

Misalnya si A bekerja untuk mencari makan atau memberi makan anak-anaknya maka si A tergolong dalam pengertian "yang lain dari pada Allah" dan juga dapat dianggap "ikut serta dalam proses memberi mkan anaknya.Fungsi si A dalam keterlibatan ini hanya majaz (bayangan) saja, bukan dalam arti hakiki.Kerana menurut pengerti hakiki yang memberi makan dan minum pada hakikatnya ialah Allah, sebagaimana tersebut dalam Al Qur'an Surah:As-Syu'ara ayat 79."Dialah (Allah) yang memberi makan dan minum kepada saya.

Segala macam perbuatan (sikap laku) apakan perbuatan diri sendiri ataupun perbuatan yang terjadi di luar dirinya, adalah termasuk dalam dua macam pengertian.Pengertian pertama dinamakan MUBASYARAH dan pengertian kedua dinamakan TAWALLUD.Kedua macam pengertian ini tidak terpisah satu sama lain.

Contohnya adalah sebagai berikut:

1) Gerak pena ditangan seorang penulis, ini dinamakan MUBASYARAH (terpadu) kerana adanya "perpaduan" dua kemampuan kodrat yaitu kemampuan kodrat gerak tangan kemampuan kodrat gerak pena.

2) Gerak batu yang lepas dari tangan pelempar.Hal ini dinamakan TAWALLUD (terlahir) kerana lahirnya gerakan batu yang dilemparkan itu adalah kemampuan kodrat gerakan tangan.

Namun pada hakekatnya, kedua macam pengertian itu (Mubasyarah dan Tawallud) adalah Af'al Allah s.w.t., didasarkan kepada dalil nas Al-Qur'an:

(WALLAHU KHOLAQAKUM WA MA TA'MALUN)

Artinya:
Allah yang mencipta kamu dan apa yang kamu lakukan.
Apa-apa juga yang dilakukan oleh hamba,perkataan,tingkah laku,gerak dan diam, namun semua itu sudah lebih dahulu pada Ilmu,Qoda dan Qadar/Takdir Allah s.w.t.

Firman Allah di dalam Al-Quran:
(WA MA RAMAITA IDAZ RAMAITA WALAKINNALLAHURAMA)

Artinya:
Tidaklah anda yang melempar (Hai Muhammad) tetapi Allah-lah yang melepar ketika anda melempar.
(LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL ALIYYIL AZHIEM)

Artinya:
Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan (daya dan kekuatan) Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agung.

Hadis Rasullah s.a.w.
(LA TATAHARRAKU DZARRATUN ILLA BI IDZNILLAHI)

Arinya:
Tidak bergerak satu zarrah juapun melainkan atas izin Allah.

Atas dasar pandanga (musyahadah) inilah, maka Nabi s.a.w. tidak mendoakan kehancuran bagi kaumnya yang telah menyakiti beliau.

Apabila anda tetap selalu atas pandang (musyahadah) Tauhidul-Af'al dengan penuh yakin (tahkik) maka terlepaslah anda dari pada penyakit dan bahaya syirik-khofi sebagaiman tersebut di atas.

Sehingga akhirnya anda akan dapat menyaksikan dengan jelas bahwa segala yang berupa UJUD MAJAZI (ujud bayangan) ini, lenyap dan hilang sirna, dengan NYATANYA NUR UJUDULLAH yang hakiki.

Apabila secara terus menerus anada latih dengan pandangan musyahadah demikian sedikit demi sedikit dengan tidak tercampur baur antara pandangan lahir dan pandangan batin, maka sampailah anda pada suatu makom (tingkatan) yang di namakan MAQOM WIHDATUL AF'AL.

Pada tingkatan ini bererti fana (lenyap) segala perbuatan makhluk, perbuatan anda sendiri atau perbuatan yang lain dari anda kerana "nyatanya" perbuatan Allah Yang Maha Hebat.

bersambung Bab Tauhidul Asma:


posted at 7/06/2006 06:36:00 PM by Razali Bin Hassan:: 2 witty replies :: permalink

July 04, 2006
Zikir Nafas.......


Firman Allah swt;
"Maka ingatlah kepada-Ku, nescaya Aku ingat kepadamu (bersama dan melindungi hambaNya)....(Al-Baqarah:152)

Allah memberi jamninan bahwa hamba yang kukuh jiwanya dengan Allah akan mendapat perlindunganNya dari gangguan syaitan.

Zikir yang bersisilah dan dilakukan dengan teknik yang betul akan mensucikan hati pengamalnya dan meningkatkan ubudiyahnya kepada Allah.Semangkin tinggi ubudiyyah, semangkin tawadhuk dan semangkin kerdil hamba itu terhadap Tuhannya sehingga ke tahap merasa hilang wujud diri (fana), maka semangkin kuatlah Tenaga Illahi yang terlimpah pada qalbinya.Ia selari dengan perinsip sains bahwa semangkin kecil sesuatu atom itu , maka semangkin hebat tenaga dan kuasanya.

Tenaga zikir adalah tenaga dari Illahi, ia mempunyai cahaya yang hebat yang datang dari alam Lahut.Energi zikir akan menyucikan segala kotoran pada qalbi sehingga qalbinya akan terkeluar cahaya alam Lahut yang tertutup selama ini disebabkan kekotorannya.Cahaya ini akan bersinar dan meningkatkan frekuensi cahaya jiwanya (mazmumah).Ia juga akan bergerak menguatkan Ruh Sultani iaitu cahaya akal sehingga akalnya mempunyai daya ketahanan yang kuat, berfikiran tajam dan kreatif.

Getaran cahayanya yang tinggi ini juga akan menguatkan Ruh Jasmani atau tenaga dalam atau gelombang elektromagnet yang bergerak aktif dalam tubuhnya.Gelombang atau tenaga inilah yang mengawal segala fungsi dan organ dalam tubuh manusia.Apabila tenaga ini terganggu atau lemah, maka ia akan mendedahkan seseorang itu kepada serangan pelbagai penyakit.

Tenaga dalam badan ini juga mewujudkan medan magnetik yang juga disebut aura.Ia mengelilingi seluruh badan dan menjadi benteng pertahanan diri seseorang dan dapat mengesan gelombang-gelombang di sekelilingnya sama ada positif atau negatif.Semangkin kuat tenaga elektromagnet dalam tubuh, semangkin kuatlah medan magnet atau benteng dirinya.

Seseorang ahli zikir atau orang yang khusyuk dalam ibadah mempunyai ketenangan yang tinggi.Sains mengatakan semangkin tenang atau hening sesuatu objek itu, maka gerakan atom atau tenaga yang berhasil amatlah laju.Justeru, semangkin seseorang itu tenang, tenaganya makin kuat dan laju.Tenaga yang ada pada dirinya itu boleh diqasadkan perbagai kegunaan zahir dan batin.

Zikir yang digabungkan dengan teknik pernafasan yang betul, atau disebut oleh ahli Tassauf sebagai zikir nafas, akan memberi kesan yang hebat.Imam Ghazali mengatakan zikir yang dilakukan dengan cara menahan nafas akan mempercepatkan proses penyucian hati (membakar mazmumah).

Firman Allah swt;
"Sesungguhnya Kami menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian."(At-Tin:4)


posted at 7/04/2006 04:04:00 PM by Razali Bin Hassan:: 0 witty replies :: permalink


Hati


Hati
Engkau adalah pandangan Allah
Engkau adalah rahsia Allah
Siapa yang memahaminya
Akan membersihkanmu
Hati
Engkau kini terhijab
Engkau tiada melihat dengan kebenaran
Apabila tertanggalnya hijab
Terpandanglah engkau akan kebaikan
Terpukaulah engkau dengan keindahan
Terang dan nyata wujud Allah
Hati
Engkau adalah kitab Allah
Engkau adalah khazanah Allah
Jika engkau terbuka hijab
Engkau kembali seperti dulu
Ilmu-ilmu yang tinggi adalah dirimu
Jadilah dirimu alim hakiki
Nukilan dari kitab Bicara Hikmah (1)
Mursyid Syaik Haji Ibrahim Bin Haji Mohamad


posted at 7/04/2006 11:57:00 AM by Razali Bin Hassan:: 0 witty replies :: permalink


Silat dan Cahaya Rabbani


Firman Allah Taala yang bermaksud:Sesiapa yang dikehendakinya".Dan barangsiapa yang diberi hikmah, sesungguh telah diberi kebajikan yang banyak.Dan tidak ada yang mengambil pelajaran kecuali bagi orang-orang yang berakal".(Surah Al Baqarah:269)

Secara kesimpulan, pendekar itu sepatutnya, bukanlah sahaja orang mahir dengan ilmu persilatan zahir berkonsepkan "pandai akal" semata-mata.Bahkan pendekar itu perlulah juga dibathinnya mempunyai keperibadian yang mulia, jiwa yang bersih, hati yang tenang dan tenteram serta mencapai martabat hakikat dan makrifat.

Melahirkan manusia yang hanya (mempunyai) ilmu semata-mata tanpa disertakan kebersihan rohani akan membawa kepada keegoaan dan perdebatan yang tiada habisnya.Begitu juga dengan mereka yang berada dalam dunia persilatan tanpa memiliki ilmu jiwa yang bersih dan kuat, mereka tidak akan tahan uji, mereka mudah ditipu oleh syaitan dan nafsu, mudah tenggelam dalam lautan mencari kemasyuran dan mencari pujian, serta membawa kepada perpecahan dan kelemahan.

Seseorang pendekar itu juga haruslah menggunakan ilmunya pada tempat yang betul dan selalu mengingati bahwa musuh yang sebenar bukanlah zahir terang-terangan tetapi musuh yang lebih besar itu berada di dalam hati sanubarinya iaitu nafsu yang selalu mengajak kepada kejahatan.

Nafsu itulah menjadi tunggangan kepada iblis dan syaitan.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;"Ingatlah!Sesungguhnya di dalam jasad terdapat segumpal darah, apabila ia berada di dalam keadaan baik, maka seluruh tubuh menjadi baik, tetapi apabila ia berada di dalam keadaan buruk, maka seluruh tubuh menjadi buruk, darah yang dimaksudkan adalah hati"(Hadis Riwayat Bukhari)"

Dalam Al-Quran Allah s.w.t berfirman yang bermaksud;Sesungguhnya nafsu itu menyuruh kepada kejahatan, kecuali yang diberi rahmat oleh Tuhanku"(Surah Yusuf:53)

Jika sesorang pendekar itu hanya mendalami setakat kepandaian dan kemahiran zahir persilatan sahaja maka dia hanya memahami konsep 'pandai akal' tetapi gagal memahami konsep 'pandai jiwa'.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud"Orang yang cerdik ialah orang yang dapat menakluk hawa nafsunya, dan melakukan amal sebagai bekalan sesudah mati, sedangkan orang yang lemah akal ialah orang yang mengikut nafsu, dan selalu berperasangka terhadap Allah"(Hadis)

Dengan sebab itulah kepandaian bagi pendekar yang mukmin itu adalah kepandaiannya berjuang dalam medan tempur yang lebih kecil tetapi sangat besar iaitu di dalam hati sanubarinya tempat bersarang hawa nafsu.

Firman Allah swt;

"Sesungguhnya Allah amat mencintai orang-orang yang berjuang pada jalanNya dalam barisan yang teratur......"
(As-Shaff:2)


posted at 7/04/2006 11:53:00 AM by Razali Bin Hassan:: 0 witty replies :: permalink


ARCHIVES

June 2006
July 2006
August 2006
September 2006
October 2006
January 2007
April 2007
May 2007
September 2007
October 2009

RECENT POSTS

ANTARA PRINSIP PENTING DALAM BERGURU
Allah S.W.T. Maha Mengetahui
Kesejahteraan dan Keselamatan Hanyalah pada Allah ...
Yang Maha Kuasa
Jauhi Sikap Sombong
Amanah Seorang Pesilat
PERBUATAN ZAHIR DAN SUASANA HATI
UZLAH UNTUK MASUK KE MEDAN TAFAKUR.
IKHLAS ADALAH ROH IBADAH
BERPEGANG PADA MAKAM

CREDITS

©Kembang Wali (Syabab Zuhuur Awliyak)

©Design by Websong

Powered by Blogger

 

TAGBOARD






Scrollbar By, CarrielynnesWorld.com