Kembang Wali (Syabab Zuhuur Awliyak)

 


ABOUT ME


Razali Bin Hassan
Singapore
Master of Pencak Silat Kembang Wali.
View my complete profile


LINKS

pencak silat
persisi
persilat
kidi
nur alhayat
hikam
al-risalah
istilah-istilah tasauf
suluk
martabat tujuh
sufi islam
yaya

 


September 12, 2007
Dari Wirid Lahir Warid

SESUNGGUHNYA WIRID MENDATANGKAN KEPADA KAMU WARID SUPAYA KAMU MENDEKAT DAN MASUK KE HADRAT ALLAH S.W.T.
WIRID MENDATANGKAN KEPADA KAMU WARID SUPAYA KAMU TERSELAMAT DARI

KEKUASAAN DEBU-DEBU DUNIA DAN SUPAYA KAMU MERDEKA DARI PERBUDAKAN MATA BENDA DAN SYAHWAT KEDUNIAAN.

WIRID MENDATANGKAN KEPADA KAMU WARID SUPAYA KAMU BEBAS DARI PENJARA WUJUD KAMU DAN MASUK KEPADA SYUHUD (PENYAKSIAN).

Tidak mungkin bayi suci yang lahir dalam hati dapat dipelihara dan dilindungi dengan kekuatan dan kepandaian seseorang manusia itu. Manusia berhajat kepada Allah s.w.t untuk memelihara dan melindunginya. Hanya kurniaan Allah s.w.t yang mendatangi hati seseorang hamba itu yang mampu menjadi tentera menjaga khazanah kebaikan yang ada dalam hati. Kurniaan Allah s.w.t itu hanya menetap jika suasana hati sesuai untuknya. Allah s.w.t berkuasa mencabut semula apa juga kurniaan-Nya kepada hamba-Nya. Kesalihan telah dicabut daripada Azazil sehingga dia menjadi iblis. Kesalihan juga telah dicabut daripada Bal’am bin Ba’ura sehingga dia hidup di hutan seperti haiwan.

Sesiapa yang menyangka kebaikan dan kelebihan yang ada padanya sebagai hak mutlaknya, lupa dia kepada kurniaan Allah s.w.t dan kekuasaan-Nya, sesungguhnya orang itu menanti masa untuk menerima kemurkaan Allah s.w.t. Sekiranya Allah s.w.t mengasihani seseorang hamba itu Dia akan meletakkan sesuatu kelemahan pada hamba tersebut. Kelemahan itu sentiasa membayanginya untuk memperingatkannya tentang tarafnya sebagai hamba Tuhan yang sentiasa berhajat kepada-Nya. Nabi Muhammad s.a.w dihadapkan dengan kelemahan dalam membuat bapa saudara baginda s.a.w, Abu Talib, mengucapkan dua kalimah syahadah. Nabi Nuh a.s dihadapkan dengan kelemahan dalam memujuk isteri dan anak supaya ikut menaiki kapalnya. Orang kaya dihadapkan dengan penyakit yang hartanya tidak mampu mengubatinya. Orang yang diberi kebolehan dihadapkan dengan kelemahan mendapatkan sesuatu yang sangat diingininya. Setiap orang berdiri dengan kelemahan yang tidak mungkin dia mengatasinya, kecuali dengan izin Allah s.w.t. Hal yang demikian menjadi rahmat yang memelihara kehambaan pada seseorang hamba itu.

Hikmat-hikmat di atas menceritakan tentang persiapan hati untuk menerima kedatangan kurniaan Allah s.w.t. Persiapan hati itu dinamakan wirid dan kurniaan Allah s.w.t dinamakan warid.

Aurad atau wirid adalah amal ibadat yang dilakukan secara berterusan menurut satu pola yang tertentu. Orang yang mengamalkan wirid akan melakukan jenis ibadat yang serupa pada tiap-tiap hari. Jika satu-satu amalannya tidak dapat dilakukannya pada masa yang biasa dia melakukannya kerana sesuatu halangan yang tidak dapat dielakkannya, maka dia akan melakukan amalan yang tertinggal itu pada masa lain.

Apabila seseorang sudah beramal secara demikian dengan teguh, maka dia dikatakan beramal secara aurad atau wirid. Amal ibadat yang dilakukan dengan banyak hanya pada hari-hari tertentu dan tidak dilakukan dengan banyak pada hari-hari lain tidak dinamakan wirid.

Wirid yang terbaik adalah yang menggabungkan sembahyang, puasa dan zikir, seperti yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w semasa hidup baginda s.a.w. Wirid yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w diikuti oleh para sahabat. Dari para sahabat amalan ini berkembang kepada generasi-generasi kemudian hinggalah ke hari ini. Guru-guru yang arif kemudiannya menyusun wirid-wirid yang boleh diamalkan oleh murid-murid mereka mengikut darjat rohani mereka. Murid yang tekun mengamalkan wirid yang ditalkinkan oleh gurunya berkemungkinan didatangi oleh warid.

Warid adalah pengalaman rohani yang dikurniakan Allah s.w.t kepada hati murid yang mengekali wirid. Selain dinamakan warid, ia juga dipanggil dengan nama-nama lain seperti hal, pengalaman hakikat, waridah, Nur Ilahi, Sir dan lain-lain, menurut istilah tasauf.

Banyaknya istilah yang digunakan adalah kerana sukarnya mahu menceritakan tentang apa yang sebenar berlaku pada hati seseorang yang menerima kurniaan Allah s.w.t. Nur atau warid yang datang kepada hati seorang murid tidak sama dengan yang lain. Masa kedatangannya juga tidak serupa, walaupun murid-murid tersebut mengamalkan wirid yang serupa. Ada murid yang cepat mendapat warid dan ada yang lambat bahkan ada juga yang tidak pernah memperolehinya. Tempoh warid menetap di dalam hati juga tidak serupa. Ada yang memperolehi warid hanya sekadar beberapa minit sahaja, kemudian ia menghilang. Ada yang bertahan selama satu minggu, sebulan, setahun dan sebagainya.

Keadaan tidak menentu itu terjadi kerana murid belum mencapai keteguhan atau istiqamah. Warid yang menetap hingga menjadi sifat murid itu dinamakan wisal dan dia akan hidup berterusan dengan wisal yang menyerap pada dirinya, hingga ke akhir hayatnya.

Seorang murid atau salik perlulah bersungguh-sungguh mengamalkan wirid atau aurad bagi menyucikan hati agar hati itu berada dalam keadaan yang sesuai dan layak menerima kedatangan warid atau Nur Ilahi. Wirid adalah amalan untuk mempersiapkan diri, bukan wirid itu yang mengangkat seseorang ke Hadrat Allah s.w.t, bukan wirid yang mendatangkan warid. Warid adalah semata-mata kurniaan Allah s.w.t, tetapi hanya hati yang sesuai sahaja yang boleh menanggung kedatangannya, seperti juga wahyu yang merupakan kurniaan Allah s.w.t namun, hanya hati nabi-nabi yang boleh menerima kedatangannya.

Apabila seseorang itu menerima kedatangan warid itu tandanya Allah s.w.t berkenan membawanya hampir dengan-Nya. Warid yang diterima oleh hati itu menarik hati kepada Allah s.w.t dengan mengeluarkannya dari penjara dunia dan syaitan. Kekuatan dunia, hawa nafsu, syaitan dan mata benda tidak dapat menyekat hati yang berjalan dengan warid kerana warid itu adalah tarikan langsung dari Allah s.w.t, bahkan orang yang menerima warid itu sendiri tidak dapat menghalang berlakunya kesan warid ke atas dirinya. Tarikan langsung dari Allah s.w.t mengelurkan hati nurani dari penjara wujud dan masuk ke dalam tauhid yang hakiki, menyaksikan (syuhud) dengan mata hatinya akan keesaan Allah s.w.t.

Orang yang hatinya didatangi warid akan mengalami perubahan yang luar biasa. Jiwanya akan berasa tenang dan fikirannya tidak lagi kusut-masai. Dia dapat merasakan kelazatan beribadat dan berzikir. Warid yang masuk ke dalam hati menghancurkan sifat-sifat yang keji dan melahirkan sifat-sifat yang terpuji.

Warid yang diterima oleh hati melahirkan beberapa jenis perasaan. Hati mungkin berasa gembira dan mungkin juga berasa sayu bila menerima kedatangan warid. Warid dalam suasana gembira adalah tajalli Allah s.w.t kepada hamba-Nya dengan sifat Jamal (keindahan). Warid yang melahirkan rasa sedih dan kecut hati adalah tajalli Allah s.w.t dengan sifat Jalal (kebesaran). Orang yang mengalami suasana sifat keindahan Allah s.w.t akan merasai kedamaian, ketenangan, keseronokan, kelazatan dan sangat membahagiakan.

Pengalaman rohani tersebut membuatnya mengenali Allah s.w.t sebagai Tuhan Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang, Maha Lemah-lembut, Maha Pengampun dan sifat-sifat lain yang menyenangkan. Apabila hati rohani mengalami sifat-sifat keagungan dan keperkasaan Allah s.w.t maka akan terasa kecut hatinya, menggeletar tubuhnya dan mungkin dia jatuh pengsan. Pengalaman begini membuatnya mengenali Allah s.w.t sebagai Tuhan Yang Maha Perkasa, Maha Keras, Maha Tegas, Maha Hebat seksaan-Nya dan tidak ada sesuatu yang terlepas dari genggaman-Nya.

Pengalaman warid adalah umpama Mikraj (tangga) untuk mencapai Allah s.w.t. Warid peringkat pertama menggerakkan hati supaya rajin beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Warid peringkat kedua memutuskan si hamba dari pergantungan kepada makhluk dan membulatkan semangatnya untuk berpegang kepada Allah s.w.t semata-mata. Warid peringkat ke tiga melepaskan si hamba dari sifat-sifat kemanusiaan dan seterusnya bebas dari kewujudan yang terbatas lalu masuk kepada Wujud Mutlak yang tiada batas. Kesedarannya tidak ada lagi pada dirinya dan alam maujud seluruhnya, yang ada hanya Allah s.w.t Yang Maha Esa lagi Maha Berdiri Dengan Sendiri.

TIDAK TERJADI WARID (KURNIAAN) YANG LANGSUNG DARI ALLAH S.W.T KECUALI SECARA MENDADAK SUPAYA TIDAK DIDAKWA OLEH PARA HAMBA BAHAWA DIA MENERIMANYA KERANA ADA PERSIAPANNYA.

Allah s.w.t adalah Maha Esa, tidak ada sesuatu bersekutu dengan-Nya. Dia tidak bersekutu dengan amal hamba-Nya, ilmu hamba-Nya, doa hamba-Nya, hajat hamba-Nya, rencana hamba-Nya, persiapan hamba-Nya dan apa sahaja yang zahir serta yang batin. Allah s.w.t Berdiri Dengan Sendiri, Dia tidak terikat kepada sebab dan akibat.

Kurniaan yang besar untuk seseorang hamba-Nya adalah si hamba itu dipertemukan dengan hakikat bahawa Allah s.w.t Maha Berdiri Dengan Sendiri. Pertemuan dengan sifat ini membuat si hamba mengenali akan keesaan Allah s.w.t. Salah satu cara Allah s.w.t memperkenalkan sifat Berdiri-Nya Dengan Sendiri kepada hamba-Nya adalah dengan memberikan kurniaan-Nya kepada hamba-Nya secara tiba-tiba hingga kurniaan itu tidak boleh disebabkan kepada sesuatu melainkan dinisbahkan kepada Allah s.w.t sahaja. Allah s.w.t berfirman:

Dialah Yang Awal dan Yang Akhir; dan Yang Zahir serta Yang Batin; dan Dialah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. ( Ayat 3 : Surah al-Hadiid )

Dia Yang Awal tanpa permulaan, Yang Akhir tanpa kesudahan, Yang Zahir ada kenyataan-Nya pada makhluk dan Yang Batin tersembunyi dari makhluk-Nya.

Dia mengetahui amal hamba-Nya sebelum si hamba itu beramal. Dia mengetahui doa hamba-Nya sebelum si hamba itu berdoa. Dia mengetahui ilmu hamba-Nya sebelum si hamba itu berpengetahuan. Bahkan Dia mengetahui gerak dan diam hamba-Nya sebelum si hamba itu diciptakan. Yang awal, yang akhir, yang zahir dan yang batin tidak terlepas dari pengetahuan-Nya kerana Ilmu-Nya adalah Ilmu Yang Awal, Ilmu Yang Akhir, Ilmu Yang Zahir dan Ilmu Yang Batin. Segala sesuatu itu telah ada dalam Ilmu-Nya dan tetap ada dalam Ilmu-Nya tanpa tertakluk kepada penciptaan makhluk-Nya.

Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah s.w.t. ( Ayat 22 : Surah al-Hadiid )

Tarikan yang langsung dari Allah s.w.t menghela pandangan mata hati daripada benda-benda alam dan kejadian alam kepada Pencipta alam, Pengatur segala urusan. Beginilah Allah s.w.t memperkenalkan Diri-Nya kepada hamba-Nya. Proses ini dinamakan pengalaman hakikat yang menghasilkan makrifat.

Ilmu tentang hakikat atau biasanya dipanggil ilmu hakikat, dinamakan juga ilmu Rabbani (ilmu yang dinisbahkan kepada ketuhanan) atau ilmu laduni (ilmu yang diterima secara langsung dari Allah s.w.t), tidak didapati dengan belajar atau dengan beramal. Tidak ada jalan atau persiapan yang memastikan seseorang akan memperolehinya. Ia adalah semata-mata kurniaan dari Allah s.w.t. Hanya Allah s.w.t yang layak memperkenalkan Diri-Nya kepada hamba-Nya. Hanya Allah s.w.t yang mengetahui siapakah dari kalangan hamba-hamba-Nya yang layak mengenali-Nya.

Hanya Allah s.w.t yang berhak menetapkan bila dan bagaimana Dia harus dikenali.
Bila Allah s.w.t berkehendak memperkenalkan Diri-Nya kepada hamba-Nya disampaikan kepada hamba-Nya itu ilmu hakikat, ilmu Rabbani atau ilmu laduni. Tiba-tiba sahaja Nur Ilahi menerangi hati si hamba itu dan terbukalah mata hatinya untuk syuhud kepada Tuhannya.

Hamba itu pun berpengetahuan bahawa Ilmu Allah s.w.t yang sempurna meliputi sejak azali hingga kepada tiada kesudahan. Dia pun berpengetahuan bahawa Allah s.w.t Berdiri Dengan Sendiri, tidak ada sesuatu apa pun yang ikut campur dalam urusan-Nya. Dia pun berpengetahuan tentang keesaan Allah s.w.t. Semakin mendalam makrifatnya semakin luas pula ilmu pengetahuannya, bertambah teguhlah pegangan tauhidnya.

JIKA ENGKAU MELIHAT SEORANG HAMBA YANG DITETAPKAN ALLAH S.W.T DALAM MENJAGA WIRIDNYA DI SAMPING BERTERUSAN BANTUAN ALLAH S.W.T, MAKA JANGAN ENGKAU MEREMEHKAN PEMBERIAN ALLAH S.W.T KEPADANYA SEKALIPUN BELUM TERLIHAT PADANYA TANDA ORANG ARIF (AHLI MAKRIFAT) DAN SERI CAHAYA ORANG YANG CINTA KEPADA ALLAH S.W.T (MUHIBBIN), KERANA SEKIRANYA TIDAK ADA WARID TIDAK MUNGKIN ADANYA WIRID.

Orang yang berpegang teguh dengan wiridnya menempuh salah satu dari dua jalan. Jalan pertama adalah jalan ahli akhirat dan jalan kedua adalah jalan ahli Allah s.w.t. Ahli akhirat berpegang teguh pada wiridnya sesuai dengan tuntutan syariat kerana dia mengharapkan balasan syurga dan dijauhkan dari azab neraka. Mereka berpeluang memperolehi kurniaan Allah s.w.t untuk mencapai makam Mukmin. Orang Mukmin adalah orang yang terjamin syurga baginya. Mereka bukan sahaja terjamin mendapat syurga di akhirat, bahkan semasa hidup di dunia lagi mereka mendapat berbagai-bagai kurniaan Allah s.w.t seperti keberkatan pada usaha dan ketenangan pada jiwa. Orang Mukmin berada dalam makam asbab. Keberkatan yang dikurniakan kepada mereka menyebabkan mereka dapat menjalankan kehidupan mereka mengikut kedudukan asbab tanpa bercanggah dengan syariat. Kejayaan mengharmonikan berbagai-bagai anasir dalam dirinya di bawah payung syariat menyebabkan jiwanya menjadi tenang.

Jalan kedua adalah jalan ahli Allah s.w.t. Orang yang menjalani jalan ini dinamakan salikin, salik, muridin atau murid. Orang salik mengamalkan wirid bukan kerana berkehendakkan balasan syurga dan bukan kerana mahu mengelakkan seksaan neraka. Tujuannya adalah untuk membersihkan hati dan berharap agar Allah s.w.t mengurniakan kepadanya makrifat. Makrifatullah yang dicari bukan syurga yang dituntut. Apabila memperolehi makrifat dia dipanggil orang arif, iaitu orang yang mengenal Allah s.w.t. Seterusnya, kehalusan adab sopannya dan kehalusan kurniaan Allah s.w.t kepadanya menjadikannya orang yang mencintai Allah s.w.t (muhibbin).

Walau jalan mana yang ditempuh, di sana terdapat mereka yang telah berpegang teguh dengan berwirid tetapi tanda-tanda orang yang berjaya sampai ke puncak tidak kelihatan pada mereka. Mereka tidak mendapat kurniaan Allah s.w.t dalam bentuk pengalaman kerohanian yang halus-halus. Tidak ada tanda ahli makrifat dan tidak ada cahaya ahli muhibbin pada mereka. Kemungkinannya mereka dipandang rendah oleh orang lain. Orang ramai menilai pencapaian berdasarkan kepada apa yang nyata, seperti pembuktian dengan kekeramatan, mulut masin atau kefasihan menyampaikan ilmu makrifat. Pandangan yang demikian merupakan satu kekeliruan.

Sebenarnya kesanggupan untuk mengekalkan wirid sudah merupakan kurniaan yang besar daripada Allah s.w.t. Sekiranya Allah s.w.t tidak mengurniakan kepadanya keteguhan hati tentu mereka tidak sanggup mengekalkan wirid. Keteguhan hati dalam menjaga wirid adalah warid yang datang dari Allah s.w.t dan tidak semua orang memperolehinya. Oleh yang demikian janganlah meremehkan orang yang teguh menjaga wirid sekalipun tidak kelihatan tanda-tanda kecemerlangan pada mereka.


posted at 9/12/2007 05:51:00 PM by Razali Bin Hassan:: 0 comments: permalink


ARCHIVES

June 2006
July 2006
August 2006
September 2006
October 2006
January 2007
April 2007
May 2007
September 2007
October 2009

RECENT POSTS

TASAUF RASULULLAH SAW DAN MENGENAL DIRI
ALLAH HU ALLAH HU
Sifat 20
Tafakur Ilahiyah
Usul Ma'rifat
Jangan Putus Asa Kala Do'a Belum Di Kabulkan
Jangan Ragu dengan Janji Allah
Makrifat kepada Allah sebagai puncak tujuan hamba.
Meraih Cinta Abadi
Kasih Rasulullah saw

CREDITS

©Kembang Wali (Syabab Zuhuur Awliyak)

©Design by Websong

Powered by Blogger

 

TAGBOARD






Scrollbar By, CarrielynnesWorld.com