Kembang Wali (Syabab Zuhuur Awliyak)

 


ABOUT ME


Razali Bin Hassan
Singapore
Master of Pencak Silat Kembang Wali.
View my complete profile


LINKS

pencak silat
persisi
persilat
kidi
nur alhayat
hikam
al-risalah
istilah-istilah tasauf
suluk
martabat tujuh
sufi islam
yaya

 


August 07, 2006
Martabat Tujuh Bab 4

Katanya seterusnya :

(Katanya: dan kata-kata syatahat seorang wali) sambungan atas katanya terlanjur lidahnya (katanya atau ta'wilnya) sambungan atas keadaan ghaibahnya (katanya kerana itu) yakni kerana menyalahi [istilah mereka dengan] istilah golongan lain [seperti istilah fuqaha atau ahli usul aldin] (katanya: tergelincir ramai dan seterusnya sampai habis ayat) dan ibn al-Muqri mengikut bagi orang yang selainnya berpendapat kafir orang yang syak tentang kafirnya golongan ibn 'Arabi [termasuk, kalau diterima, mereka yang mengikut huraiannya di Dunia Melayu, termasuk 'martabat tujuh' dalam al-Manhal al-Safi karangan Syaikh Daud ini] yang zahir kata-kata mereka [memaksudkan] bersatu [antara Tuhan dan makhluk], itu adalah dengan kadar apa yang mereka faham dari zahir kata-kata mereka , tetapi kata-kata golongan ini adalah mengikut [system] peristilahan mereka ; adapun orang yang beriktikad atas zahirnya dari kalangan orang jahil antara mereka yang beramal dengan tasauf, maka hendaklah diberitahu dan diajarkan [apa yang sebenarnya, bukan zahir lafaznya], dan kalau ia meneruskan halnya selepas daripada mengetahui tentangnya [selepas diajar] maka ia menjadi kafir, dan pembicaraan ini akan dilakukan dalam 'kitab al-Siyar' insya' Allah. Habis kenyataan dalam kitab 'al-Mughni'. (11)



Dalam Mughni al-Muhtaj terdapat kenyataan yang hamper sama maksudnya:

Ertinya: Demikian pula kata-kata yang keluar dari para aulia dalam hal pengelaman ghaibah mereka; dan dalam kitab 'al-Amali' Syaikh 'Izzuddin ibn 'Abdis-Salam : Sesungguhnya wali itu bila ia berkata:"Aku Allah' hendaklah dikenakan hukuman ta'zir dengan ta'zir syari'i, dan itu tidak menafikan kewalian [orang yang berkenaan], kerana mereka bukannya maksum [seperti ma'sum anbia], dan ini diinafikan oleh pendapat al-Qusyairi :Termasuk ke dalam syarat kewalian ialah ia 'mahfuz' [terjaga] sebagaimana daripada nabi [pula] syaratnya ialah ma'sum, maka setiap orang yang bercanggah dengan syara' maka ia terpedaya, menipu [diri sendiri], maka wali itu ialah orang yang berterusan amalannya bermuafakat [dengan Syara'], dan ditanya ibn Suraij berkenaan dengan Husain al-Hallaj bila ia mengatakan 'Aku Allah', maka ia bertawakuf tentangnya.Ia lelaki yang tidak nyata kepadaku urusannya, dan aku tidak katakana sesuatu[pun] tentangnya.Dan al-Qadhi Abu 'Amru dan Junaid dan fukaha zamannya mengkafirkannya kerana yang demikian itu, dan dinasihati supaya al-Muqtadir memukulnya dengan seribu pukulan kalau ia mati, kalau tidak seribu lagi, kalau ia tidak mati maka dipotong tangannya dan kakinya, kemudian dipotong lehernya.Itu semua dilakukan kepadanya …dan manusia walaupun demikian mempunyai pendapat yang berlainan tentangnya.Antara mereka yang terlalu mengagung-agungnya,, antaranya mereka yang mengkafirkannya, kerana ia dibunuh dengan pedang Syara', dan ibn al-Muqri berpendapat mengikut mereka yang lain itu , menganggap kafir orang yang syak tentang kufurnya golongan ibn 'Arabi yang zahir k,ata-kata mereka [menunjukkan makna] penyatuan (al-ittihad) [antara Tuhan dan makhluk], dan itu adalah mengikut kadar apa yang mereka fahamkan dari kata-kata mereka.Tetapi golongan ini kata-kata mereka mengikut [system] peristilahan mereka [sendiri], kerana lafaz istilah itu bersifat hakiki pada maknanya secara istilah [teknikal] dan bersifat majazi dalam yang lain daripadanya, maka orang yang beriktikad dari kalangan mereka adalah mengikut makna yang sahih, adapun orang yang beriktikad zahir [pada lafaznya] dari kalangan jahil pengikut tasauf maka ia hendaklah diberitahu [tentangnya], kalau ia terus juga dengan keadaannya [mengambil maknanya yang zahir pada lafaz juga], maka menjadi kafirlah ia.Huraian tenhtang ini juga akan dilakukan nanti dalam kitab al-siyar.In sya' Allah.(12)

4.Tentang istilah-istilah yang muncul itu adalah proses yang berlaku terhadap semua ilmu-ilmu Islam seperti fiqh, tafsir, hadith, sirah, dan lainnya termasuk tasauf; dan tasauf pula ada yang mu'amalah dan ada yang mukasyafah; tentang martabat tujuh ini, ia termasuk ke dalam bahagian mukasyafah; tidak semua orang memerlukannya. Kedudukan tentang istilah-istilahnya disebut antaranya dalam kitab Tuhfah oleh ibn Hajar rh dan Mughnil-Muhtaj oleh Khatib Sharbini rh. Yang penting ialah kita memahai istilahy-istilah mengikut apa yang difahami di kalangan mereka yang ahli baginya.Ini pendirian ulama dalam Ahlis-Sunnah wa al-Jama'ah yang tidak menjadi tabiat dan resminya untuk mengkafirkan sesama sendiri sebagaimana yang dijelaskan antaranya dalam al-Tabsir fid-Din oleh al-Isfara'ini rh juga al-Baghdadi rh dalam al-Farq bain al-Firaq.

5.Tasauf demikian adalah bertujuan untuk memantapkan ketaatan dan taqwa dengan memberi huraian-huraian yang bersifat intelektuil bagi mereka yang memerlukan; ia bukan untuk orang yang tidak memerlukannya, apa lagi mereka yang hendak memahaminya mengikut system istilah mereka sendiri. Hendaklah dibezakan mereka ini daripada golongan yang mendakwa tasauf dan melemparkan syariat daripada hidup mereka dan memperlekeh-lekehkannya.Na'udhu billahi min dhalik.

6.Sebenarnya ia bukan tasauf falsafah, sebab falsafah ialah setakat lamunan mental dengan fikiran dan minda, dan tidak menyentuh aspek-aspek yang batin dan rohani manusia. Adapun yang demikian ini adalah huraian tentang syuhud 'arifin dengan system peristilahan mereka sendiri. Dan ia sebahagian daripada tasauf bahagian mukasyafahnya.Dan mereka adalah Ahlis-Sunnah bukan terkeluar daripada Ahlis-Sunnah, melainkan golongan yang memang disebutkan terkeluar daripada Ahlis-Sunnah sepertri yang disenaraikan dalam kitab Tuhfgah al-Raghibin karangan Syaikh Arsyad al-Banjari rh (13).Dalam hubungan dengan ini eloklah kita ingatkan pembahagian ibn 'Arabi rd tentang ilmu itu ada tida kategori: ada yang akliah, yang boleh difahami dengan akal, ada yang bersifat sebagai "hal" yangh dialami oleh jiwa dan roh, ada yang bersifat 'hakikat-hakikat" (al-haqa'iq).Ini boleh didapati pada awal "Futuhat"nya, jilid I.

Seperkara lagi ia bukan akidah, ia syuhud, ini perlu dibezakan maksudnya.Kalau akidah semua orang mesti mengetahuinya dan meyakininya, seperti sifat-sifat Tuhan dalam ilmu akidah, berdasarkan Qur'an, hadith dan ijma'.Adapun pengelamanb syuhud para 'arifin itu "hal" mereka, atau "makam" mereka, yang mereka alami, bukan akidah yang mesti dipelajari oleh semua mukallaf. Sebab itu 'salah' kalau dikatakan akidah ibn 'Arabi rd adalah 'wihdatul-wujud', sebab akidahnya ialah sebagaimana yang dibentangkannya pada awal kitab al-Futuhatnya, yang isinya hampir-hampir sama dengan akidah Imam al-Ghazali rd dalam Ihya'nya. Adapun pengelaman syuhudiah, itulah yang disebutkan orang sebagai wihdatul-wujud itu.

7.Tentang kepentingan adanya sains dan teknologi, ini tidak menjadi persoalan, sebab metafisika tasauf yang demikian bukannya bercanggah dengannya, bahkan ia memberi kerangka metafisika dan rohani kepada ilmu sains dan teknologi, dan ia tidak menafikan undang-undang sebab musabbab pada alam syahadah ini; seseorang boleh menjadi sufi sebenarnya (selain daripada mengingati contoh para Sahabat rd dan Tabi'in dan generasi Salaf rd) dan juga ahli sains; sebab tasauf yang sebenar yang dimaksudkan boleh ada pada ahli fakir seperti Imam al-Ghazali, ahli sejarah dan sosiologi, seperti ibn Khaldun, boleh ada pada pemerintah seperti Salahuddin al-Ayyubi dan Sultan 'Abdul Hamid Turki (sayangnya ia menjadi mangsa konspirasi manusia zamannya, termasuk manusia yang Islam, selain daripada konspirasi Barat), atau tasauf yang ada pada bendahara Tun Perak di Melaka. Kalau di Negara kita sarjana sains seperti Prof Osman Bakar boleh mendapat fahaman yang jelas dalam metafisika sufi untuk fahaman sainsnya, demikian juga sarjana seperti Prof Mohd Yusoff Othman, sekadar menyebut beberapa nama, walaupun tidak dikaitkan mereka dengan tasauf secara yang tersangat ketat.

Kesimpulan:

Nampaknya perbincangan menunjukkan bahawa Martabat Tujuh sebagaimana yang difahami oleh mereka yang ahli sebenarnya adalah harmonis dan mendapat tempat dalam wacana ilmu Ahlis-Sunnah ; hanya ia perlu difahami dengan sebenarnya, mengikut para ahlinya, sebab semua pengetahuan ada ahlinya.Tentang adanya golongan sesat dalam masyarakat yang menisbahkan diri kepada tasauf, atau adanya orang yang jahil yang memahaminya secara zahir lafaznya, maka itu bukan alasan untuk dinyatakan ia terkeluar daripada Ahlis-Sunnah ataupun terkeluar daripada lingkungan keimanan, na'udhu billahi min dhalik.Apa lagilah, sikap negatif itu tidak menasabah, bila diingatkan, bahawa dalam rantau ini, ia melibatkan peribadi-peribadi seperti Wali Sunan Kalijaga, Sunan Bonang, Syaikh Nur al-Din al-Raniri, Syaikh 'Abdul-Rauf Singkel, Syaikh al-Qusyasyi, Syaikh Syamsul-Din Pasai, Syaikh Arsyad al-Banjari, Syaikh Yusuf al-Makasari yang menentang penjajah itu, Syaikh 'Abd al-Samad al-Falimbani penyebar faham Imam al-Ghazali, Syaikh Daud al-Fatani, Syaikh Ahmad al-Fatani (guru To' Kenali) [editor kitab-kitab Jawi zaman kerajaan Othmaniah dulu], dan seluruh gernerasi mereka itu-Allah memberi rahmat kepada mereka.Amin; kalau diambil sikap yang negatif sebagaimana mula dikesani, maka seolah-olah sudah berlaku satu jenis "dekonstruksi ilmu Ahlis-Sunnah" sementara ada ungkapan yang lebih menasabah untuk ini- dalam hubungan dengan mereka yang sebenarnya wajib diberikan layanan yang "lebih beradab" dan "lebih bertamadun". Dan tentang perlunya bidang ini tidak diceburi oleh mereka yang tidak sewajarnya di kalangan orang awam, itu juga diterima, dan wali al-amri perlu melakukan tindakan kawalan dengan bantuan mereka yang ahli di dalamnya. Dan ia tidak boleh dibicarakan dihadapan orang awam. Wallahu a'lam.






Nota:

(1)Dalam Ihya' 'Ulumi'd-Din, kitab berkenaan dengan ilmu.

(2) Lihat Martin van Bruinessen, "Sufism and the Islamization of the Archipelago", dalam
http://www.let.uu.nl/~martin.vanbruinessen/personal/publications/Sufi...

(3)ibid.

(4)C.A.O.van Nieuwenhuijze, Shamsusu'l-Din van Pasai, (Leiden, Brill,1945), lihat ibid.

(5)Lihat Anthony H.Johns The Gift Addressed to the Spirit of the Prophet,(Canberra, ANU, 1965).cf ibid.

Skima Syaikh Syams al-Din Pasai tentang martabat wujud yang tujuh itu ialah Ahadiah, Zat Tuhan yang kadim, wahdah, Zat Tuhan dengan Sifat-SifatNya , yang kadim, dengan kepelbagaian sifat-sifatNya, kadim, Wahidiah, juga kadim, abadi, Tuhan dengan nama-Namanya, Alam Arwah, yang diciptakanNya, dengan bahagian-bahagian alamnya, Alam Mithal, yang diciptanya, wujud Tuhan tertajalli padanya, Alam Ajsam, alam jism-jisim, tercipta olehNya, tertajalli wujud Tuhan padanya, Alam al-Insan, yang tercipta, yang tertatajalli wujud Tuhan padanya. Lihat ringkasan tentangnya dalam karangan Peter Riddell, Islam and the Malay-Indonesian World, Horizons Books, Singapore, 2003, p113. Skima yang sedemikian boleh didapati dalam al-Manhal al-Safi karangan Syaikh daud al-Fatani rh yang akan dibicarakan kemudian.

(6)"Sufi Legendaris dari Nagaroe Aceh" dalam www.sufinews.com/


(7)Sir Richard Winstedt, A History of Classical Malay Literature, JMRAS, jilid 31, bahagian 3, no.183 , 1961. hal.121. Tentang ibn 'Arabi rd di Dunia melayu nampaknya ada penulisan yang serius tentangnya yang dilakukan oleh Dr Kautsar Azhari Noer, Ibn 'Arabi Wahdat al-Wujud Dalam Perdebatan, dengan pengantar oleh Kamaruddin Hidayat, Paramadina, Jakarta, 1995.


(8) Dalam "Sufism and the Islamization of the Archipelago", dalam
http://www.let.uu.nl/~martin.vanbruinessen/personal/publications/Sufi...

(9)http://feqah.al-islam.com/Display.asp?DocID=69&MaksamID=1&ParagraphID=3275&Sharh=0

(10)ibid.

(11)ibid.

(12)
http://feqh.al-islam.com/Display.asp?DocID=70&MaksamID=1&ParagraphID=2940&Sharh=0


(13) yang dihurai isi kandungannya oleh penulis kertas iuni berdasarkan pembentangannya dalam seminar antarabangsa di Brunei, tidak lama sebelum ini.Ini boleh diakses dalam laman web berikut:
http://traditionalislam.tripod.com/Tasawwuf_Kedudukannya_DiNusantara.htm -di bawah tajuk "Tasawwuf dan Kedudukannya di Nusantara", bahagian "wujudiah".Dalam laman web: http://www.geocities.com/traditionalislam/pendidikandakwahAlbanjari.htm- dibawah tajuk Pendidikan dan Dakwah Syaikh Arsyad al-Banjari, yang dibentangkan dalam persidanganm antarabangsa tentang Syaikh Arsyad al-Banjari di Banjarmasin tahun 2001, penulis menerangkan hal ini di bawah tajuk "tasawwuf" mengikut syaikh Muhammad Arsyad rh.






LAMPIRAN:

Dalam Lampiran ini penulis hendak perkenalkan naskah tulisan tangan kitab Syaikh Daud rh yang menjadi "rakan" kepada kitab "al-Manhal al-Safi" ini, judulnya Riyad al-Nufus al-Zakiyyah ila al-Taraqqi A'la Maqam al-Nufus al-Mutma'innah, ["Taman-Taman Jiwa Yang Suci kepada Pendakian ke Makam-Makam Tertinggi Nafsu Mutma'innah"] , terjemahan kitab Sair al-Suluk ila Malik al-Muluk karangan al-'Arif billah Malik al-Muridin Hujjah al-Muhaqqiqin, Shaikh Qasim Khan al-Halabi. Beliau menyatakannya pada bahagian akhir terjemahan "Inilah akhir yang hamba hendak kenang [?] risalah yang bernama akan dia Riyad al-Nufus al-Zakiyyah ila al-taraqqi 'ala Maqam al-Nafs al-Mutma'innah, pada menyatakan nama nafsu yang tujuh masyhur pada ahlinya, maka adalah sekeliannya hamba nakal daripada kitab yang bernama Sair al-Suluk ila malik al-Muluk karangan bagi al-'Arif billahQasim Khan al-Halabi nafa'ana 'Llahu biha kama nafa'a bi-asliha .Amin." (fol.17B). Katanya "telah selesai faqir ila 'Llah ta'ala Daud bin 'Abdullah daripada mentaswid [yakni menulis] akan bayad [kertas ] ini pada malam Rabu delapan belas haribulan Rabi' al-Awwal, di Makkah al-Musharrafah pada Hijrah (fol.17b) seribu dua ratus empat puluh" (fol.18A). MS ini ditulis oleh Ma' Saleh ibn Jenal pada 3 haribulan Syawwal 1324, dengan tandatangannya pada akhirnya. Saya ucapkan "jazaka'Llahu khairal-jaza' " kepada rakan baik saya saudara Zaidi Mohd Hassan atas baik budinya membekalkan saya dengan salinan naskah MS yang bernilai ini. Takdirnya yang menyebut kitab "al-Manh al-Safi" karangan Syaikh Daud rh pada tahun 1976 dalam tulisan saya "Peradaban Dalam Islam" itu saya , waktu itu kitab itu nampaknya belum tersebut dalam persuratan, dan sekarang kitab beliau ini saya sebutkan di sini dalam sessi ini. Fali'Llahi '-hamd 'ala'n-ni'am.

Kandungannya mennandungi huraian berkenaan dengan "Nafsu Tujuh" pada bahagian awal lagi disebutkan ia berbicara berkenaan dengan "perbezaan nafsu ammarah dan nafsu lawwamah, dan nafsu mulhamah, dan nafsu mutma'innah, dan nnafsu radiyah, dan kamilah yang tujuh namanya, dan menyatakan perjalanannya, dan alamnya, dan halnya, dan tempatnya, dan waridnya, dan sifatnya, dan kejahatannya, dan kaifiat melepaskan daripadanya dan kaifiat naik ke atas yakni naik nafsu ammarah kepada nafsu lawwamah dan daripada nafsu mulhamah hingga kepada tujuhnya.Fasal yang pertama pada menyatakan nafsu ammarah dan perjalannya dan alamnya dan halnya dan tempatny"( fol.1B).

Dikkuti dengan perbincangan tentang nafsu ammarah dengan ringkas (fol.2A) kemudian nafsu lawwamah katanya "perjalannya ila'Llah yakni kepada Allah dan alamnya itu alam syahadah yakni mulki yang didapat dengan pancaindera yang lima, dan tempatnya dada dan halnya yakni kelakuannya condong kepada kejahatan dan waridnya itu syari'at" (fol.2A).

Tentang nafsu itu berbilang-bilang tetapi ia yang satu itu juga, katanya "pada hakikatnya itu nafsu suatu jua tetapi yang berbiulang-bilang itu namanya bersalahyan perangai jkua, dan lagi bahawasanya nafsu itu ialah yang berkata dan iaitu hati sweperti mana Allah ta'ala [berfirman] padanya [iaitu berkenaan dengannya] 'yang demikian bagi orang yang ada baginya hati' kerana tiada dikehendaki daripada hati itu sepotong daging[dalam badan manusia], maka bahawasanya kehendak hati [itu ialah] hanya nur yang latif [iaitu zat halus yang bukan benda] yakni yang halus lagi rabbani yakni yang dibangsakan rabbani [yakni dinisbahkan kepara Tuhan, Rab], tetapi tatkala [ber]cerai sebab cenderung kepada tabi'ah dan syahwah dan berjinak-jinak akan nafsu syahwaniyyah yakni roh haiyawani jadi berlutur [?] ia serupa pada perjalan[an]nya haiyawanat dan bertukarlah segala sifat yang kepujian dengan sifat yang kecelaannya, dan jadilah [ia] tiada dapat berbeza daripada mereka itu melainkan dengan rupa [jadilah ia seumpama] syaitan daripada tenteranya." (fol.2b).

Katanya meneruskan huraiannya :"Ketahui olehmu bahawasanya cahaya hati itu enam ba[ha]gi, pertama qalb tempatnya nur yang kelam kedua syaghaf tempat nur yang merah ketiga fu'ad tempat nur yang kuning keempat habbatul-qalb [lit. inti hati]tempat nur yang putih, kelima bahjah al-qalb tempat nur samadiyyah cahaya yang tidak boleh dibagaikan, iaitulah sirr , eenam suwaid al-qalb tempat nur yang hitam lagi sangtat halusnya .(ali-ha' [ertinya intaha, habis nukilan kata]). [katanya] Dan setengah daripada sifatnya itu yakni sifat nafsu ammarah itu jahil dan bakhil dan loba dan takabur dan pemarah [ikut syahwat] dan dengki dan jahat perangai dan masuk di dalam perci[n]ta (berangan-angan) dan pekerjaan yang tiada memberi faedah daripada perkataan dan lainnya dan [ber]senda-senda dan pemarah dan mensakiti [yakni menyakiti] akan orang dengan tangannya dan lidahnya dan yang lain daripadakeduanya berbagai-bagai yang jahat; maka iaitu nafsu yang amat jahat"(fol.2B-3A).

Ini diikuti dengan zikir dan wirid untuknya . Kemudian ia pewrgi kepada nafsu lawwamah (fol.4B dengan huraian tentang perjalannya, alamnya, tempatnya, waridnya, sifatnya, ubat untuk menyelesaikan masalah-masalahnya, dan seterusnya sampai kepada akhir perbincangan tentang nafsu nyang tujuh itu.

Kitab diringkaskan isinya oleh Syaikh 'Abd al-Samad al-Falimbani dalam Sair al-Salikinnya dalam jilid III hal.8-13.

Ringkasnya kitab ini adalah"rakan" yang menyempurnakan huraian dalam 'al-manhal al-Safi" ini.


---
*Nota yang disediakan untuk pembentangan dalam Seminar Tasawwuf anjuran Jabatan Agama Negeri Sembilan, pada 14 Ogos 2004 di Allison Kelana Resort Seremban, Negeri Sembilan Darulkhusus.
Penulis ialah Fellow Amat Utama Akademik Institut Pemikiran dan Peradaban Islam, UIAM juga Fellow Kehormat IKIM.


Tamat
---------------


posted at 8/07/2006 06:32:00 PM by Razali Bin Hassan:: 0 comments: permalink


ARCHIVES

June 2006
July 2006
August 2006
September 2006
October 2006
January 2007
April 2007
May 2007
September 2007
October 2009

RECENT POSTS

Martabat Tujuh Bab 3
Martabat Tujuh Bab 2
Martabat Tujuh Bab 1
cermin diri sendiri
Manusia bangkit dari kubur dalam 12 barisan
Tanda-tanda hari kiamat
Tanda-2 kematian untuk orang islam
4 Golongan Lelaki
10 JENIS SOLAT YG TIDAK DITERIMA OLEH ALLAH
12 sifat SAHABAT

CREDITS

©Kembang Wali (Syabab Zuhuur Awliyak)

©Design by Websong

Powered by Blogger

 

TAGBOARD






Scrollbar By, CarrielynnesWorld.com