Kembang Wali (Syabab Zuhuur Awliyak)

 


ABOUT ME


Razali Bin Hassan
Singapore
Master of Pencak Silat Kembang Wali.
View my complete profile


LINKS

pencak silat
persisi
persilat
kidi
nur alhayat
hikam
al-risalah
istilah-istilah tasauf
suluk
martabat tujuh
sufi islam
yaya

 


August 07, 2006
Martabat Tujuh Bab 3

Alam Mithal:

Katanya: Martabat yang kelima martabat alam mithal yang dinamakan dia 'alam khiyal yang terbit [nisbah manusia] di hadapan otak , ialah akal yang ditaruh pada hadapan otak [selain daripada akal yang ada pada kalbu -uem] dan digelarkan dengan ard al-simsimah dan ard al-haqiqah dan [nisbahpada alam semesta pula-uem] iaitu alam mithal itu ibarat daripada segala perkara kauniyyah yang masuk di bawah kalimah 'kun' lagi bersusun daripada beberapa suku yang khiyali lagi halus yang tiada menerima suku-sukukan yakni tiada menerima bahagi dan tiada menerima cerai-cerai dan tiada menerima setengah yakni tiada menerima bahagi dan tiada menerima carik dan bertemu kerana halusnya dan tiada kasarnya .(fol.7B)

Alam Ajsam:

Yaitu [alam] yang kasar yang tersusun daripada beberapa kerjadian yang empat yaitu api dan hawa dan air dan tanah [dalam fisik klasik, yang sekarang terlalu amat banyak 'elements'nya], maka keluar daripadanya lima perkara pula pertama jamad [benda-benda padat], dan nabat [tanaman], dan haiwan, dan insan dan jin ; maka adalah alam ajsam itu ibarat daripada segala perkara yang kauniyah yakni yang masuk di bawah lafaz 'kun' [perintah Allah] yang bersusun daripada perkara yang kasar lagi menerima suku-sukukan dan dibahagikan dan carik dan bertemu. (fol.7B)


Martabat yang ketujuh:

Katanya: dan martabat yang ketujuh martabat yang jami' [yang menghimpunkan semua] bagi segala martabat yang jasmani, yaitu alam mithal, dan alam ajsam, dan yang nurani yang kadim yaitu ahadiah, dan nurani yang hadith 'alam arwah dan yang menghimpunkan pula martabat wahdah dan wahidiah, maka ialah yang dinamakan tajalli yang akhir, yaitu dinamakan martabat insan yang kamil.

Inilah metafisika sufi tentang martabat tujuh yang terkenal dikalangan ulama rantau ini, berdasarkan wacana ulama yang terdahulu secara implikasi dan dihuraikan secara mendetail oleh ibn 'Arabi, dengan sedikit modifikasi kemudiannya. Ertinya Syaikh Daud al-Fatani rh yang menulis tentang fiqh seperti Furu' al-masa'il dan Bughyah al-Tullab, dan dalam akidah menulis Al-Durruth-Thamin dan Ward al-Zawahir, demikian pula menulis tentangt tasauf dalam terjemahannya ke atas Minhaj al-'Abidin Imam al-Ghazali dengan memberi judul yang sama, dan memberi huraian tasauf Abu Madyan al-maghribi rd dalam Kanz al-Minan Syarah Hikam Abi Madyan ;kemudian ia menulis pula kitab metafisika tasauf al-Manhal al-Safi [fi bayan Ruimuz Ahl al-Sufi] ini.



Ia antara mereka yang mewakili dengan baiknya kesepaduan intelektualiti ulama Ahlis-Sunnah wa al-Jama'ah di rantau ini.

Seterusnya lagi beliau berbicara berkenaan dengan perjalanan kerohanian.Katanya:

Ketahui olehmu bahawasanya orang yang salik kepada Allah apabila bersungguh-sungguh ia berjalan kepada Tuhannya dan serta beradab ia pula dengan gurunya yang menjalani nescaya diputuskan beberapa 'alam hingga sampai kepada Tuhannya ; maka pertama alam yang diputuskan yakni yang dilalukan 'alam mulk dan dinamakan alam nasut pula yaitu barang yang didapatkan dengan mata kepala seperti segala ajsam dan lainnya, iaitulah dinamakan pula alam nafs; kemudian [ia] lalukan pula [dalam perjalanan rohaninya itu] alam (fol.7B)
Malakut , iaitu barang yang [di]dapatkan dia dengan matahati dan iaitu 'alam al-qalb dan dinamakan pula 'alam akhirat [jangan dikelirukan itu dengan apa yang berlaku selepas daripada kiamat sebab ini berlaku atas seseorang sebelum kiamat-uem]; kemudian dilalunya pula alam al-jabarut dan iaitu alam al-arwah kemudian dilalunya pula alam lahut, iaitu alam sirr yakni rahasia Allah ta'ala; dan padanya hilang segala asma' dan segala rasm yakni segala athar [athar kesan, bekas], dan tiada dipandangnya di sana itu melainkan Wahid al-Ahad dan padanya sehingga [-hingga] fana hamba dengan Tuhannya yakni selesailah ia daripada memandang kepada aghyar [jamak bagi 'ghair', yang lain daripada Allah], dan sucilah hatinya daripada akdarnya [karat-karat rohaniah], aghyar, dan sucilah hatinya daripada akdar dan aghyar [nampaknya ini ulangan yang dibuat oleh penulis khatnya], dan ketika itulah dipenuhkan di dalam segala ma'rifat dan asrar [asrar jamak bagi sir, rahasia], patutlah ia tempat tajalli Tuhannya sebab lepas [ia daripada-] diperhambakan segala aghyar maka dinamakan hatinya tatkala itu ka'babatu'Llah [ka'bah bagi Allah, bukannya Allah ada di dalam tetapi disebut demikian sebab ternyata iman adalah perbuatan hati, apa lagi iman yang setinggi yang dimaksudkan ini] dan mahligai Allah dan rumah Allah yakni murad daripadanya [ialah] tempat tajalliNya dan tempat tiliknya [ingat kepada hadith yang menyebut Allah tidak memandang kepada melainkan ia memandang kepada hati kamu], dan rahasiaNya [Tuhan akan curahkan fahaman-fahaman yang mendalam kepadanya] dan patutlah menanggung Amanah Allah dan patut ia mengenal akan Allah seperti firmanNya di dalam hadith kudsi :


Ertinya:Telah Ku perbuat di dalam rongga anak Adam itu suatu ma[h]ligai dan adalah di dalam ma[h]ligai itu dada, dan di dalam dada itu hati, dan di dalam hati itu fua'd, dan di dalam fu'ad itu syaghaf dan di dalam syaghaf itu lubb, dan di dalam lubb itu sirr dan di dalam sirr itu Aku.

Yakni di dalam sirr itu tempat tajalli Aku dan tempat ia mengenal akan Daku.

Dan lagi firmanNya kepada Nabi Allah Daud 'alaihis-salam :

Ertinya; Hai Daud selesaikan olehmu [yakni kosongkan olehmu] bagiKu suatu rumah supaya diam Aku di dalamnya. Maka sembahnya:maka betapa hai Tuhanku? Maka firmanNya selesaikan olehmu [yakni kosongkan olehmu] hatimu maka apabila keluarlah seorang itu daripada dirinya maka dinamakan martabat (folio.8 A)

Haqqul-yaqin seperti kata Syaikh Ruslan di dalam Hikamnya; 'Al-yaqinu khurujuka 'anka' ertinya bermula yakin itu keluar engkau daripada diri engkau, yakni keluar engkau daripada melihat akan wujud dirinya akan dayanya dan upayanya maka melihat sekelian itu daripada Allah dengan Allah bagi Allah, (folio.8B).

Teks ini seterusnya membicarakan hal-hal lanjutan tentang beberapa aspek lagi yang menyentuh perjalanan rohani hamba kepada Tuhannya.

Antaranya yang disentuh itu ialah tinggalkan yang lain dari Allah [dari segi rohaninya dan kesedarannya] (fol.8B), sehingga jadilah pendengarannya pendengaran Allah dan seterusnya (ibid), itu dikatakan martabat wahdah 'yang hapus daripada asma dan rusum' dan ini diisyaratkan [dari segi Allah pula] 'kana Allah wa la shay' ma'ahu' ertinya adalah Allah taala sebelum lagi dijadikan alam dan tiada suatu sertaNya(fol.8B).

Antaranya disebutkan bagaimana 'tajalli' sifat sama' dalam hubungan dengan hamba.Katanya: 'Jika ditajalli Allah ta'ala dengan sifat sama' maka jadilah orang yang(fol.8B)

Salik itu mendengar daripada af'al itu yaitu barang yang dibukakan Allah bagi hanya salik daripada af'al ta'ala sekira-kira dilihat sekelian perkara itu berlaku dengan kudrat Allah ta'ala Ialah yang menggerakkan dan ,mendiamkan akan sebagai syuhud yang hali [iaitu pemandangan secara rohani yang dialami betul-betul oleh orang itu] lagi dhauqi [dhauq, 'secara kecapan rasa [rohani], bukan 'secara fikir'] tiada mengetahui melainkan ahlinya; maka di sinilah tempat tergelincir kaki orang yang salik [apa lagi orang yang hanya 'fikir sendiri ' seperti membaca surat khabar harian lalu 'fikir sendiri'] kerana ia menafikan perbuatannya sekali-kali maka hendaklah sangat-sangat memegang akan Syari'at " (fol10A).

Seterusnya dibicarakan istilah-istilah yang berkaitan dengan pengelaman rohani dengan Tuhan seperti hal dan maqam (fol.10A), 'ilmul-yaqin (ibid), 'ainul-yaqin (ibid), al-jam' (ibid), jam' al-jam'I (ibid), yang disebutkan [dalam hubungan dengan orang yang mengalaminya] martabat Ahadiah (perlu diingat martabat Ahadiah dalam hubungan dengan Tuhan sewaktu tiada ta'ayyun, itu satu, martabat ahadiah yang dialami oleh orang 'arif terhadap Tuhan itu suatu perkara pula], al-farq al-awwal (ibid), al-farq al-thani (ibid), tajrid (fol.10B), siddiq (ibid), taqwa (ibid), haibah (ibid), munajat (ibid), salih (ibid), wali (ibid), al-tasawwuf (fol.11A), ini menarik.

Tentang tasawwuf katanya:"Iaitu berhenti serta adab syari'at yang zahir dan yang batinnya; maka melihat akan hukumnya daripada zahirnya dalam batinnya dan daripada batin pada zahirnya, maka hasillah daripada dua hukum itu sempurna yang tiada sempurnakan kemudian daripadanya", atau dikata[kan]nya "iaitu jernih zahirnya daripada dosa dan jernih batinnya daripada aghyar" (fol.11A).

Antaranya dibicarakan : al-shari'ah (ibid), 'ishq dan 'ashiq (ibid), ma'shuq (ibid), a'yan thabitah (ibid), a'yan kharijiyyah (fol.11B), dan mahw dan ithbat dan lain-lainnya.termasuk beberapa kategori tauhid (fol.12A ), sebutan tentang 'tujuh makam' makam zulumat yang aghyar, iaitu dinamakan nafsu, padanya itu nafsu ammarah bissu', kedua makam nur [anwar?], dan dinamakan nafsu padanya dengan nafsu lawwamah, ketiga makam asrar dinamakan nafsu padanya dengan mulhamah, keempat makam kamal dan dinamakan pula nafsu padanya itu dengan mutma'innah, kelima makam wasal dan dinamakan nafsu padanya itu radiyah, keenam makam tajalliyyat al-af'al dan dinamakan nafsu padanya itu dengan mardiyyah, ketujuh makam tajalliyyat al-sifat dan asma' dan dinamakan nafsu padanya itu dengan kamilah.(fol.14A).

Antara nama-nama ulama yang menjadi sandaran dalam teks ini ialah ibn 'Arabi (fol.1B, 3A), Sadr al-Din Buni [al-Qunyawi] (fol.1B, 5A), Syaikh Ahmad al-Qusyasyi (fol.6B), Nur al-Din al-Raniri (fol.7A), Syaikh Qasim Khan (fol.9A), Muhammad anak Sahal anak 'Ata' menyebut kata-katanya (fol.11A), Syaikh Abul-Mawahib Muhammad Zain al-'Abidin ibn al-Ghumari dengan tauhid empat martabat (fol.12A),

Beberapa persoalan yang mungkin timbul dalam hubungan dengan martabat Tujuh sebagaimana yang terdapat dalam teks Syaikh Daud ini-rahimahu'Llahu ta'ala- 'alim yang arif tentang akidah Ahlis-Sunnah wa al-Jamaah , fiqh Ahlis-Sunnah, tasawwuf Ahlis-Sunnah [dan huraian dalam 'al-Manhal al-Safi' adalah Ahlis-Sunnah, bukan Khawarij, bukan Mu'tazilah, bukan Rafidah atau Syi'a]), adalah seperti berikut.


1.Adakah perkara seumpama ini ada pada zaman nabi? Sehubungan dengan itu kita juga boleh bertanya: Adakah perkara seumpama fiqh, usul al-din, tafsir, nahu saraf, ada pada zaman nabi? Kalau demikian bagaimanakah kita melihatnya?

2.Tidakkah ber'falsafah-falsafah' seperti ini asing daripada Islam, agama yang bersifat dengan tuntutan ke atas orang supaya beriman dan beramal? Tidakkah ini pengaruh dari luar yang sebenarnya hendak meruntuhkan Islam? Meruntuhkan Syari'at dari dalam?

3.Tidakkah ini berlawanan dengan fahaman ilmu Ahlis-Sunnah yang sebenarnya?
Atau tidakkah ini sebenarnya adalah ajaran sesat dalam masyarakat Islam?

4.Tidakkah istilah-istilah itu direka-reka untuk mengusutkan fikiran Muslimin supaya mereka habis umur dengannya dan terbangkalai tugas-tugas mereka terhadap Islam dan umat?

5.Tidakkah fahaman yang sedemikian ini akan merosakkan syariat Islam yang mementingkan ketaatan dan taqwa?

6.Tidakkah ini tasauf theosofi atau tasauf falsafi yang asing daripada tasauf Sunni yang moderat seperti huraian Imam al-Ghazali? Tidakkah ini bercanggah dengan matlamat tasauf sebenarnya mengikut ulama yang muktabar?

7.Tidakkah cara berfikir yang sedemikian ini bercanggah dengan kepentingan umat yang mesti mengambil bahagian dalam teknologi untuk menghadapi globalisasi? Tidakkah ini bercanggah dengan kepentingan umat yang mesti mencapai kekuatan untuk menjaga kepentingannya?

Mungkin respons yang boleh terlintas kepada kita dalam hubungan dengan soalan-soalan di atas adalah seperti berikut:

1.Memang nampaknya tidak ada perkara yang seumpama ini pada zaman nabi s.a.w. dan zaman sahabat dan zaman salaf, Allah meredhai mereka semuanya. Bagaimanapun perkara yang sama boleh ditanya dalam hubungan dengan ilmu-silmu syara' yang lain itu. Sebagaimana yang dihuraikan oleh ibn Khaldun rh dalam "al-Muqaddimah"nya, dengan berlalu zaman dan sejarah maka ilmu-ilmu Islam itu muncul dengan perkembangan manusia dan masing-masing menjadi disiplin-disiplin dengan istilah-istilahnya sendiri, fiqh dengan fiqhnya, usul al-fiqh dengan usul al-fiqhnya, tafsir dengan tafsirnya, hadth dengan tafsirnya, tasawwuf dengan tasawwufnya dengan istilah-istilahnya masing-masing.Perkembangan ilmu-ilmu Islam ini dicatitkan sejarahnya dan isi kandungannya oleh ibn Nadim dalam 'al-Fihrist' dan 'Kasyf al-Zunnun' oleh Hajji Khalifah. Allah memberi rahmat kepada mereka semuanya.Amin.

Bagaimanapun dasar-dasar untuk perkembangan ilmu-ilmu itu semuanya ada dalam Qur'an dan Sunnah , istilah-istilahnya belum ada, juga masalah-masalah detailnya.Masalah-masalah pokoknya sudah ada. Maka dalam hubungan dengan ini boleh dinyatakan secara am dalam Ahlis-Sunnah bahawa apa-apa perkembangan yang baharu yang tidak bercanggah dengan Qur'an, Sunnah dan ijma' maka itu boleh diterima, termasuk di bawah hukum yang lima.

Dalam hubungan dengan ini kita boleh merenung: Adakah 'salah' ulama hadith menghuraikan istilah-istilah 'sahih', "da'if', 'hasan' , 'mutawatir', 'mustafid' 'ahad, dengan maksud-maksudnya kerana nabi saw tidak membicarakannya? Adakah 'salah' dalam al-Itqan al-Suyuti itu ada huraian-huraian tentang apa yang 'makki', yang 'madani', yang 'am', 'yang khas', yang 'safari', yang 'hadari' dan lain-lain? Adakah 'salah' ulama fiqh menghuraikan apa itu 'sah', 'batal' 'fasid', 'sunat', 'harus', makruh, dan lain-lain? Dan dalam usul al-fiqh pula Imam Syafi'I menghuraikan apa itu bayan? Dan lain-lain. Demikian pula salahkah kalau kita fikirkan ulama sufi bila terbaca kalimat 'ahad' dalam Surah al-ikhlas terlintas pada pandangan rohaninya pengenalan terhadap Tuhan dalam 'ahadiah'? Bila bertemu dengan kata 'wahid' ia terlintas pula wahidiah? Dan ada yang mengalami yang demikian dalam sejarah mereka? "Salah"kah kalau terlihat dalam Qur'an kata 'wahid' terpandang pada syuhudnya pengenalan ma'rifat tahap 'wahidiah'? Kalau mereka melihat alam , maka hakikat disebaliknya ialah Tuhan? Bukan alam itu dengan juzuk-juzuknya Tuhan, itu makhluk, tetapi bila terlihat alam, terpandang hakikat di sebaliknya, Tuhan? Maka timbullah wahdah fi al-kathrah? Demikian seterusnya.

2. Ajaran Martabat Tujuh yang diwakili oleh teks yang dibicarakan ini tidak meruntuhkan syariat, bahkan ia mengehendaki supaya syariat diamalkan dengan seboleh-bolehnya, kem udian didalamkan kesedaran batin supaya ketakwaan itu mencapai darjah 'ihsan' yang tinggi , dengan kejernihan hati dan sir. Dengan itu tergabunglah ketaatan terhadap syara' dan ketinggian iman dan keikhlasan.


Tentang 'pengaruh dari luar' yang kerap disebut-sebut oleh Orientalis, Neo-Platonisme, dan pelbagai lagi, (sampai orang yang pintar seperti Iqbal pun-Allah yarhamuh- terkena kesannya) itu adalah kemungkinan dari segi peristilahan; itu boleh berlaku sebab budaya mendapat pengaruh horizontal dalam sejarah, seperti kiita sekarang juga ada istilah-istilah moden yang kita pakai, tetapi istilah itu bukanlah bermakna kita sudah berhenti menjadi Muslimin dan berfikir sebagai Muslimin dan menjadi orang yang berpegang kepada moderniti sebagai falsafah, atau kadang-kadang kita menggunakan istilah positif, bukan bermakna kita mengikut Auguste Comte dengan falsafah positivisme; kita gunakan istilah itu dalam gugusan istilah dalam faham alam atau kehidupan cara kita.

Demikian para ulama kita dahulu, misalnya mereka mengambil istilah mantik Yunani, bukan bermakna mereka menerima falsafah Yunani dengan keseluruhannya dengan kesilapan-kesilapannya, mereka menerima yang berfaedah daripadanya, sebagaimana yang Imam al-Ghazali rd tunjukkan kaedahnya dalam "Tahafut al-Falasifah" dan "al-Munqidh Min al-Dalal"nya.

Lagi pula ulama kita tidak mengajarkan Martabat Tujuh itu kepada sesiapa sahaja, tetapi kepada mereka yang ada persediaan yang patut, dan mereka memerlukan huraian itu dari segi intelektuil sebenarnya, sebagai dokongan kesedaran rohani mereka, selepas mereka mengetahui akidah Ahlis-Sunnah, hukum-hukumnya, dan tasawuf mu'amalah.Ini bukan falsafah dalam erti huraian mental spekulatif semata, tetapi ia huraian tentang syuhud para 'arifin yang sahih. Sebab itu Waliyu'Llah al-Dihlawi rh menyatakan bahawa sebenarnya aliran wahdatul-wujud ibn 'Arabi yang ada dalam teks ini dengan aliran wihdatul-syuhud al-Sirhindi adalah sebenarnya merujuk kepada perkara yang sama, dengan istilah-istilahnya sahaja yang berbeza sahaja.(Lihat Burhan Ahmad Faruqi dalam The Mujaddid's Conception of Tawhid, Sh Muhammnadِ Ashraf, Lahore, 1970, hal.97-100).

Ungkapan pengaruh luar kerap disebut oleh Orientalis untuk menunjukkan bahawa ilmu kerohanian sebenarnya tidak begitu ada dalam islam, ia kemuflisan dari segi ini, maka ia terpaksa 'meminjam'. Sebaliknya ulama Ahlis-Sunnah menyebut bahawa tasawwuf adalah daripada Qur'an dan Sunnah dan pengelaman rohani mereka yang muktabar dalam umat yang dirahmati Allah ini.

Mereka yang berpegang kepada ajaran tasauf seperti ini tidak meruntuhkan Syari'at bahkan mereka menguatkannya, sebagaimana yang boleh dilihat dalam huraian-hurain mereka itu, juga sebagaimana yang boleh dilihat dalam sejarah mereka, baik dalam kawasan asal Islam atau di Nusantara.Kemunculan kaum zindik yang mengenepikan Syariat itu adalah dengan ijma' diharamkan, membawa kepada kekufuran, na'udhubillahi min dhali.Kalau di rantau ini yang berpandangan demikian ialah Syaikh Nur al-Din al-Raniri Syaikh 'Abd al-Rauf Singkel, Syaikh 'Abd al-Samad al-Falimbani, Syaikh Arsyad al-Banjari, rakannya Syaikh Daud al-Fatani, Syaikh Ahmad al-Fatani, yang ayahandanya memiliki naskah 'al-Manhal al-Safi' ini, Allah memberi rahmat kepada mereka antara yang sekian ramai itu.

3.Ajaran sedemikian ini ada dalam kalangan ulama Ahlis-Sunnah wa al-Jamaah, hanya ia tidak disebut oleh al-Asy'ari rd dan al-Syafi'I rd. Tetapi ia dihuraikan oleh mereka yang berpegang kepada ajaran mereka berdua; dan ia bukan termaswuk ajaran sesat. Ini antaranya jelas daripada fatwa ibn Hajar rh dalam "al-Tuhfah", (10) katanya:

Dan [perkataan yang bersifat sebagai] syatahat yang keluar daripada seorang wali masa hal pengelaman ghaibahnya [masa fananya] atau ta'wilan [kata-kata] yang dijadikan istilah teknikal di kalangan mereka, [tidak menjadi sebab kufur] walaupun yang lain dari kalangan mereka tidak mengetahui hal itu, kerana lafaz yang dijadikan istilah [di kalangan mereka yang ahli dalam sesuatu ilmu itu] adalah hakikat pada sisi mereka yang ahli di dalamnya, maka yang demikian itu tidak ditentang mereka itu kerana istilah mereka menyalahi istilah golongan yang selain daripada golongan mereka , sebagaimana yang ditahkikkan tentang ini oleh imam-imam dalam ilm al-kalam dan yang lain daripada mereka.

Dengan itu, maka ramai mereka yang tergelincir kerana menyerang golongan muhakkikin dari kalangan sufiah dalam perkara-perkara yang mereka [sebenarnya] terbebas daripada [tuduhan] yang demikian, dan mereka berpergi datang melihat di kalangan mereka yang berbicara tentang istilah mereka yang tertulis dalam kitab-kitab mereka mencari-cari untuk itu [untuk menyerang], walhal mereka tidak mengetahui tentangnya [tentang maksud yang sebenar yang diketahui di kalangan golongan muhakkikin itu]. Maka tentu dan nyata mesti wajib ditegah mereka daripada yang demikian itu; bahkan kalau dikatakan bahawa mesti ditegah orang yang tidak terkenal dengan [penglibatan dengan betul dengan ] tasauf dengan cara yang benar, daripada berbicara tentang kata-kata [istilah] mereka yang boleh mendatangkan kemusykilan [ke atas masyarakat], kecuali dengan menisbahkan kepada mereka [mengikut benar-benar huraian kitab mereka] serta tidak beriktikad dengan apa yang zahir [daripada lafaz-lafaz itu] maka itu tidak jauh [daripada apa yang sebenarnya, ertinya hendaklah orang yang berbicara dengan cara yang menyalahi kitab-kitab ahli tasauf sendiri, mereka-reka tafsiran sendiri, hendaklah mereka ditegah daripada berbicara tentang itu], kerana dalam perkara yang demikian itu [yakni orang yang berbicara bukan mengikut ulama tasauf secara sadiq, tetapi memandai sendiri, dan mengambil lafaz mengiktu zahirnya] itu mendatangkan kerosakan yang tidak tersembunyi lagi [memang nyatalah kerosakannya].

[Adapun mereka yang memang sesat akidahnya selepas dipereksa, dan itu bukan ajaran tasauf, tetapi dinisbahkan sahaja kepada mereka, kerana ada kepentingan, maka wali al-amr mesti mengambil tindakan terhadap mereka-penulis kertas].
Katanya lagi (11)

Dan pendapat 'Izzuddin ibn 'Abdis-Salam [rh] bahawa wali yang berkata 'Aku Allah' hendaklah dikenakan hukum ta'zir, itu tidak menafikan kewaliannya, kerana ia tidak ma'sum, padanya ada penilitian.Kerana, kalaulah ia dalam 'ghaibah', maka ia tidak mukallaf [waktu itu], maka dengan itu ia tidak dikenakan hukum ta'zir sebagaimana kalau dita'wilkan dengan yang makbul, kalau tidak [kalau ta' boleh dita'wilkan], maka ia kafir. Maka boleh ditanggungkan maknananya bahawa bila kita syak tentang halnya, maka ia dihukumkan dengan ta'zir, untuk menjauhkan dirinya [daripada 'kesalahan' yang demikian], dan tidak dihukumkan ia itu kafir kerana ihtimal [andaian] ia teruzur, dan juga bukan tidak dihukum ia bukan wali; kerana ia tidak ma'sum…(Peringatan) Kata setengah daripada syaikh-syaikh bagi syaikh-syaikh kami dari kalangan mereka yang menghimpunkan [dalam diri mereka] antara tasawwuf dan ilmu-ilmu nakliah dan akliah, :kalau aku bertemu dengan orang-orang yang ahli tentang istilah-istilah [sufiah yang sulit-sulit itu] aku akan mencela mereka menulis kitab tentangnya walhal aku beriktikad itu adalah benar, kerana ia adalah tempat tergelincir orang-orang awam dan orang-orang yang bodoh yang mendakwa penglibatan dengan tasauf.(Seleasi kenyataannya). Dan sesungguhnya yang lebih beralasan ialah [maksud kata-kata itu melarang mereka menulis itu] ialah bila pada mereka itu tidak ada alasan dan matlamat yang sahih dalam mengarang tentangnya seperti [antara matlamat yang boleh diterima itu ialah] takut terluputnya istilah-istilah mereka itu , maka kerosakan-kerosakan[yang telah tersebut dalam larangan tadi] tidak diambil kira oleh imam-imama syara'iah maka tidak diberi perhatian kepadanya [dengan itu kitab-kitab itu boleh ditulis untuk ahlinya dan tidak ditegah]. (10).

Bersambung bab 4


posted at 8/07/2006 06:23:00 PM by Razali Bin Hassan:: 0 comments: permalink


ARCHIVES

June 2006
July 2006
August 2006
September 2006
October 2006
January 2007
April 2007
May 2007
September 2007
October 2009

RECENT POSTS

Martabat Tujuh Bab 2
Martabat Tujuh Bab 1
cermin diri sendiri
Manusia bangkit dari kubur dalam 12 barisan
Tanda-tanda hari kiamat
Tanda-2 kematian untuk orang islam
4 Golongan Lelaki
10 JENIS SOLAT YG TIDAK DITERIMA OLEH ALLAH
12 sifat SAHABAT
Lima perkara yang mesti disegerakan

CREDITS

©Kembang Wali (Syabab Zuhuur Awliyak)

©Design by Websong

Powered by Blogger

 

TAGBOARD






Scrollbar By, CarrielynnesWorld.com